
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang (PN-Marang) menjunjung kasih atas titah Yang di-Pertuan Agong yang berterus-terang menegur kelemahan pentadbiran negara, khususnya kegagalan mencegah kemungkaran rasuah yang semakin membarah.
Membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari Selasa, Tuan Guru Abdul Hadi menyifatkan rasuah sebagai punca utama kerosakan sistem negara dari atas hingga ke bawah.
Beliau menarik perhatian dewan dengan perumpamaan dua ekor kera yang berebut sebiji pisang lalu meminta bantuan seekor beruk untuk menyelesaikan masalah tersebut. Akhirnya, beruk tersebut memakan keseluruhan pisang dan hanya meninggalkan kulit kepada kera-kera berkenaan.
“Duit habis tengah jalan dicantas oleh ‘beruk-beruk’ yang jaga ‘roadblock’ ini. Ada yang ambil 10 peratus, ada yang ambil 5 peratus menyebabkan akhirnya tak cukup,” tegas beliau.
Menurutnya, kerakusan ini menyebabkan projek hospital tidak siap, perolehan senjata melibatkan barangan terpakai dan pelbagai projek gagal dilaksanakan walaupun bajet tahunan diluluskan dengan cukup.
Beliau turut menegur amalan penguatkuasaan undang-undang yang bersifat terpilih, di mana penyokong kerajaan didakwa dilindungi manakala pihak lawan dikenakan tindakan.
“Keadaan ini menjadikan kerajaan sebagai ‘payung yang bocor’,” katanya.
Beliau mengingatkan bahawa dalam Islam, rasuah adalah dosa besar yang tidak boleh hilang hanya dengan mengerjakan umrah berulang kali tanpa tindakan undang-undang yang adil.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.