
Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan bahawa pertuduhan di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dalam kes membabitkan Zara Qairina Mahathir, 13, dibuat berasaskan bukti dan fakta yang diperoleh hasil siasatan.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, AGC memaklumkan bahawa selepas meneliti kertas siasatan, pertuduhan di bawah Seksyen 507C(1) diputuskan kerana ia hanya merujuk kepada perbuatan buli dan tidak mempunyai kaitan dengan kematian Zara Qairina.
“Jabatan ini merujuk kepada kenyataan media bertarikh 19 Ogos 2025 yang dikeluarkan oleh peguam lantikan Puan Noraida Lamat, ibu kepada arwah Zara Qairina, berhubung permohonan untuk menangguhkan pendakwaan di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan serta cadangan pertuduhan di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.
“Kenyataan peguam pada perenggan 4 kenyataan media tersebut adalah bersifat spekulatif dan tidak disokong fakta yang tepat.
“Dalam hal ini, prosiding inkues masih perlu dijalankan bagi menentukan punca kematian sebenar Zara Qairina,” menurut kenyataan itu.
Terdahulu, pasukan peguam yang mewakili Noraida memohon agar pendakwaan yang dijadualkan pada Rabu ditangguhkan sementara untuk membolehkan pertimbangan semula supaya lima remaja terbabit didakwa di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.
Dalam kenyataan media bersama, pasukan peguam berkenaan memaklumkan mereka baru dimaklumkan bahawa lima remaja itu akan didakwa di bawah Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan kerana membuli Zara Qairina.
Mereka menyatakan kebimbangan bahawa sekiranya pendakwaan di bawah Seksyen 507C(1) diteruskan dan semua tertuduh mengaku bersalah, mereka tidak lagi boleh didakwa sekali lagi atas prinsip ‘double jeopardy’ yang termaktub dalam Artikel 7(2) Perlembagaan Persekutuan sekiranya siasatan lanjut atau inkues kemudian menemui keterangan bagi membuktikan kesalahan di bawah Seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan atau kesalahan yang lebih berat.