
Kajian terbaharu Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia bersama Bank Dunia mendapati golongan pekerja muda berusia 25 hingga 34 tahun dan wanita, terutamanya pekerja berkemahiran tahap sederhana — lebih berisiko digantikan oleh teknologi kecerdasan buatan (AI) generatif.
Menurut kajian itu, kira-kira 4.2 juta pekerja, iaitu 28 peratus daripada keseluruhan tenaga buruh negara, tergolong dalam kategori sangat terdedah kepada AI generatif. Sebanyak 2.5 juta pekerja lagi (17 peratus) berada dalam kategori pendedahan sederhana–tinggi. Apabila digabungkan, kira-kira 6.7 juta pekerja,atau 45 peratus daripada jumlah pekerjaan,menghadapi tahap pendedahan yang ketara terhadap AI generatif.
Kajian menekankan bahawa wanita membentuk lebih separuh daripada mereka yang berada dalam kategori pendedahan tinggi, walaupun kadar penyertaan wanita dalam tenaga kerja adalah lebih rendah berbanding lelaki. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan tentang potensi terhentinya mobiliti pekerjaan dan impak tidak setara ke atas kumpulan rentan.
AI generatif ialah teknologi yang mampu melaksanakan tugasan kognitif yang tersusun dan boleh diramal, seperti penulisan, penterjemahan, kemasukan dan penyusunan data serta analisis asas,secara automatik. Dalam ringkasan dasar kajian bertajuk “Teknologi AI baharu dan masa depan pekerjaan di Malaysia”, penulis menjelaskan pekerja berusia 25–34 tahun lebih terdedah kerana tugas mereka kerap melibatkan aktiviti kognitif yang mudah diotomasi, contohnya kemasukan data, semakan dokumen asas dan penyusunan maklumat.
Walau bagaimanapun, kajian itu juga menegaskan AI generatif membuka peluang kepada peranan yang menekankan kelebihan manusia,antaranya kecerdasan emosi dan sosial, kreativiti, penaakulan interpersonal serta pertimbangan kompleks, yang sukar digantikan oleh mesin.
Bagi mengurangkan risiko gangguan pekerjaan, pengkaji mengemukakan beberapa cadangan dasar termasuk memperkukuh sistem perlindungan sosial agar pekerja, termasuk mereka yang terlibat dalam bentuk pekerjaan tidak standard, lebih bersedia menghadapi perubahan. Selain itu, penambahbaikan sistem pendidikan, latihan dan pembelajaran sepanjang hayat disarankan supaya rakyat Malaysia dilengkapi kemahiran yang sukar diotomasi. Kajian turut mencadangkan penyelarasan semula institusi pasaran buruh dan insentif kepada majikan supaya penggunaan AI dapat menyokong pekerja serta meningkatkan kualiti pekerjaan dalam sektor yang tidak terjejas oleh automasi.
Kajian ISIS Malaysia dan Bank Dunia memberi amaran jelas bahawa transformasi teknologi ini memerlukan tindak balas dasar yang tersusun bagi memastikan peralihan ke ekonomi yang dipacu AI berlangsung secara inklusif dan adil.