
Adun Karambunai Aliakbar Gulasan akan menyokong pentadbiran Hajiji Noor di Sabah, menurut PAS. Kenyataan itu disampaikan oleh Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau berkata Aliakbar bukan asing dalam pentadbiran negeri kerana sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Adun lantikan.
Tuan Ibrahim menjelaskan bahawa pemilihan Aliakbar oleh rakyat akan mengukuhkan peranannya sebagai Adun Karambunai. Beliau berkata mandat diberikan kepada Aliakbar untuk menyokong usaha kerajaan yang dianggap membawa kebaikan.
Katanya langkah itu juga bertujuan mengukuhkan kepimpinan serta kestabilan pentadbiran Hajiji sebagai ketua menteri.
Semalam, Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin memaklumkan bahawa Aliakbar akan berada dalam blok pembangkang berdasarkan taklimat parti.
Namun, Tuan Ibrahim menjelaskan isu percanggahan itu tidak timbul lagi selepas perkara berkenaan dimaklumkan semula dalam satu mesyuarat PN.
Aliakbar mencipta sejarah apabila memenangi kerusi pertama PAS di Sabah pada PRN 29 Nov lalu selepas meraih 7,054 undi dalam saingan 11 penjuru.
Beliau menewaskan calon Warisan yang memperoleh 6,689 undi, diikuti Gabungan Rakyat Sabah dengan 4,818 undi dan Barisan Nasional yang meraih 4,475 undi.
Gabungan Rakyat Sabah memenangi 29 kerusi dan bekerjasama dengan Pakatan Harapan, BN, Upko serta lima calon bebas untuk membentuk kerajaan negeri.
Warisan, yang menang 25 kerusi, berada dalam blok pembangkang bersama Presiden Parti Solidariti Tanah Airku Jeffrey Kitingan yang mempertahankan kerusinya di Tambunan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.