
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Batu, Andi Muhammad Suryady Bandy, menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menentukan sama ada beliau akan bertanding mempertahankan kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).
Ahli Parlimen Kalabakan itu berkata keputusan mengenai pencalonan adalah hak mutlak pucuk pimpinan GRS di bawah Hajiji Noor, dan beliau akan akur dengan apa jua keputusan yang dibuat. “Buat masa ini, saya hanya memfokus kepada tugas dan tanggungjawab di kawasan Parlimen Kalabakan,” katanya ketika dihubungi.
Andi Muhammad Suryady menegaskan keutamaan beliau kini ialah memastikan projek pembangunan dan program kebajikan untuk rakyat di kawasannya diteruskan tanpa gangguan akibat pergeseran politik. Beliau menzahirkan komitmen untuk terus memberi tumpuan kepada urusan masyarakat setempat dan kerja khidmat sebagai wakil rakyat.
Pada 2022, beliau digantung keahlian UMNO selepas menyatakan sokongan terbuka kepada kerajaan negeri pimpinan Hajiji ketika krisis dalaman antara UMNO Sabah dan blok GRS sedang memuncak. Tindakan beberapa Ahli DUN UMNO yang menyokong Hajiji ketika itu dilihat sebagai usaha mengekalkan kestabilan kerajaan negeri.
Walaupun berdepan penggantungan, bekas Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan itu kekal aktif dalam arena politik terutama melalui kerja khidmat masyarakat di Parlimen Kalabakan. Langkah beliau menyokong kepimpinan Hajiji kemudian dianggap sebagai keputusan strategik bagi memastikan kesinambungan pembangunan di kawasan tersebut tidak terjejas.
Untuk rekod, Parlimen Kalabakan merangkumi empat DUN: N70 Kukusan, N71 Tanjung Batu, N72 Merotai dan N73 Sebatik.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.