
Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada Khamis mengumumkan ganjaran sebanyak AS$50 juta (kira-kira RM235 juta) bagi maklumat yang membawa kepada penangkapan Presiden Venezuela, Nicolás Maduro.
AP News
Menurut laporan New York Post, dalam sebuah video yang dimuat naik di platform X, Pam Bondi mendakwa Maduro dikaitkan dengan rangkaian pengganas dan kartel asing — termasuk Tren de Aragua, Cártel de Sinaloa dan Cartel of the Suns — yang didakwa menyeludup dadah berbahaya ke Amerika Syarikat.
Bondi turut menyatakan bahawa sejumlah besar kokain, termasuk bahan yang dicemari fentanyl, telah dirampas dan seterusnya menjejaskan nyawa rakyat AS.
Agensi Penguatkuasaan Dadah (DEA) dilaporkan telah merampas kira-kira 30 tan kokain yang dikaitkan dengan Maduro dan sekutunya, termasuk hampir tujuh tan yang didakwa berkait terus dengan beliau.
Maduro, 62, telah didakwa di Mahkamah Daerah Selatan New York sejak Mac 2020 atas pelbagai pertuduhan berkaitan penyeludupan dadah, termasuk dakwaan narco-pengganas, konspirasi untuk mengimport kokain, pemilikan senjata berat serta perancangan jenayah yang melibatkan senjata mesin dan peralatan pemusnah. Kes ini sedang ditangani oleh pejabat Peguam Amerika untuk Daerah Selatan New York.
Menurut kenyataan yang sama, Jabatan Kehakiman A.S. dikatakan telah merampas aset bernilai melebihi AS$700 juta yang dikaitkan dengan Maduro, termasuk dua jet peribadi dan beberapa kenderaan. Bondi menegaskan bahawa pentadbiran Trump akan memastikan Maduro tidak terlepas daripada tindakan undang-undang dan akan dibawa bertanggungjawab atas dakwaan jenayah tersebut.