
Pengerusi MARA, Asyraf Wajdi Dusuki, menolak dakwaan bahawa pengembalian peperiksaan utama di sekolah hanya akan melahirkan generasi “burung kakaktua”.
Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO menegaskan peperiksaan penting sebagai alat mengukur tahap penguasaan ilmu pelajar. Menurutnya, jika peperiksaan dianggap menghasilkan “burung kakaktua”, maka Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sepatutnya turut dimansuhkan.
“Asas hujah itu tidak munasabah. Kalau benar peperiksaan melahirkan generasi ‘burung kakaktua’ maka SPM juga patut dimansuhkan. Peperiksaan seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk mengukur tahap penguasaan ilmu pelajar wajar dikembalikan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Asyraf Wajdi membezakan antara UPSR dan Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA), dengan menyatakan UASA bukan ujian standard kerana ia berasaskan penilaian di setiap sekolah. Beliau berpendapat UPSR memainkan peranan penting dalam pembentukan diri dan masa depan pelajar.
“UPSR dapat membantu pelajar menilai sejauh mana mereka memahami dan menguasai ilmu yang dipelajari, selain membantu guru mengenal pasti bahagian yang perlu diperbaiki atau ditekankan semula,” katanya.
Beliau turut menegaskan peperiksaan mencanai sifat disiplin dan tanggungjawab kerana memerlukan perancangan, usaha gigih dan disiplin masa. Proses itu, menurutnya, membentuk sikap bertanggungjawab dan ketahanan menghadapi tekanan.
Asyraf Wajdi berkata UPSR juga berfungsi sebagai proses penyaringan untuk kemasukan ke peringkat lebih tinggi seperti Sekolah Berasrama Penuh, Maktab Rendah Sains MARA, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, institusi vokasional dan lain-lain. Peperiksaan, tambahnya, mendorong pelajar berusaha lebih keras serta meningkatkan daya saing yang sihat.
Laporan BH hari ini memetik Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad, yang berhujah pengembalian semula peperiksaan utama selepas dimansuhkan boleh melahirkan generasi yang cemerlang atas kertas tetapi kurang kebolehan menggunakan ilmu untuk menyumbang. Beliau menegaskan negara memerlukan murid yang berkemahiran, berakhlak mulia serta seimbang dari segi emosi dan psikologi.
Asyraf Wajdi mengingatkan bahawa kemahiran serta pembangunan holistik penting, namun menekankan peperiksaan standard seperti UPSR masih relevan sebagai ukuran penguasaan akademik dan alat bantu proses pengajaran dan pembelajaran.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.