
Fenomena kanak-kanak sekolah rendah di bandar yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pertuturan utama perlu ditangani dengan berhati-hati kerana berisiko menjejaskan jati diri bangsa, kata Pensyarah Kanan, Prof Madya Dr. Azizah Zain dari Jabatan Pendidikan Awal Kanak-Kanak, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Dr. Azizah berkata walaupun penguasaan bahasa Inggeris penting, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak boleh diketepikan.
“Sebagai pendidik, saya berpendapat fenomena ini perlu dipandang dengan berhati-hati. Memang betul bahasa Inggeris penting, tetapi apabila ia menjadi bahasa utama dalam komunikasi harian, kita perlu bertanya — adakah ini menggugat kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan? Bahasa Melayu bukan sekadar alat komunikasi; ia adalah wadah jati diri bangsa kita kerana kanak-kanak yang lebih selesa berbahasa Inggeris mungkin kehilangan nuansa budaya dan nilai-nilai yang terkandung dalam bahasa Melayu,” katanya kepada Harian Metro.
Beliau menegaskan hierarki bahasa amat penting dalam perkembangan awal kanak-kanak. Dari segi kognitif, penguasaan dua bahasa memberi manfaat, namun bahasa ibunda perlu dijadikan asas yang kukuh terlebih dahulu sebelum kanak-kanak menumpukan penguasaan bahasa kedua.
“Jika bahasa Inggeris menjadi dominan terlalu awal, kanak-kanak berisiko tidak membangunkan kemahiran berfikir dalam bahasa Melayu secara mendalam. Keadaan itu boleh menjejaskan pemahaman terhadap konsep yang lebih mudah dihayati melalui bahasa ibunda,” jelasnya.
Dr. Azizah mengakui terdapat kesan positif penguasaan bahasa Inggeris, termasuk keyakinan dalam komunikasi global, akses maklumat dan peluang pekerjaan. Namun beliau berpendapat kanak-kanak yang kukuh penguasaan bahasa Melayu terlebih dahulu akan lebih berkesan apabila kemudian mempelajari bahasa Inggeris berbanding mereka yang menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama sejak kecil.
Antara risiko besar yang dibangkitkan ialah kanak-kanak menjadi semakin asing dengan bahasa dan budaya Melayu. Bagi menanganinya, Dr. Azizah mencadangkan ibu bapa mengamalkan pendekatan khusus di rumah: mengajar anak berfikir dalam bahasa Melayu serta memperkenalkan kekayaan sastera Melayu seperti pantun, syair dan cerita rakyat untuk menonjolkan keindahan dan nilai bahasa ibunda.
Beliau turut menggesa sekolah menegaskan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa utama, manakala bahasa Inggeris diajar sebagai mata pelajaran tambahan. Dr. Azizah mencadangkan agar kanak-kanak menguasai bahasa Melayu terlebih dahulu — sekurang-kurangnya sehingga umur tujuh atau lapan tahun — sebelum diberikan penekanan intensif terhadap bahasa asing seperti bahasa Inggeris.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.