
Timbalan Pengerusi Bersatu Selangor, Rafiq Abdullah, menggesa Hamzah Zainudin berundur daripada jawatan timbalan presiden atau dikenakan tindakan disiplin tegas kerana didakwa menjadi punca utama kemelut dalaman parti itu.
Rafiq berkata beberapa laporan terhadap Hamzah telah dikemukakan oleh ahli parti kepada Lembaga Disiplin Bersatu, berkaitan dakwaan penglibatan dalam gerakan terancang bagi melemahkan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata usaha menjatuhkan presiden parti itu didakwa telah berlarutan sejak sekian lama dan menimbulkan keletihan dalam kalangan ahli.
Menurutnya, demi keharmonian dan kelangsungan perjuangan parti, sudah tiba masanya Lembaga Disiplin Bersatu mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Parlimen Larut itu.
Dakwaan berterusan terhadap kepimpinan
Hamzah sebelum ini menafikan hubungannya dengan Muhyiddin tegang, selain menolak dakwaan wujud dua kem dalam Bersatu.
Beliau turut menyifatkan dakwaan tersebut sebagai cerita yang disengajakan untuk mencetuskan perpecahan dalam Bersatu dan Perikatan Nasional.
Namun, Hamzah terus dikaitkan dengan dakwaan menyokong perpecahan dalaman parti yang dipercayai membawa kepada beberapa tindakan disiplin.
Antaranya termasuk pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, dan Ahli Parlimen Indera Mahkota, Saifuddin Abdullah, serta penggantungan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Isu kawalan penyokong dan genjatan dalaman
Dalam pada itu, Rafiq turut mempersoalkan sikap Hamzah yang didakwa gagal mengawal penyokongnya walaupun Majlis Pimpinan Tertinggi telah memutuskan supaya semua pihak menghentikan serangan dalaman.
Beliau berkata keputusan genjatan dalaman telah dipersetujui, namun serangan daripada pihak tertentu masih berterusan tanpa sebarang kenyataan rasmi daripada timbalan presiden untuk menghentikannya.
Rafiq yang juga Adun Kuang mendakwa masih terdapat kenyataan terbaharu dikeluarkan oleh beberapa bahagian, termasuk Kepong dan Selayang.
Dakwaan pemecatan dinafikan
Sebelum ini, timbul dakwaan pemecatan Hamzah telah dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu bulan lalu, namun perkara itu dinafikan oleh beberapa pemimpin parti.
Naib Ketua Bersekutu Bersatu, R Sri Sanjeevan, dilaporkan berkata dakwaan berkenaan hanyalah propaganda politik oleh individu tertentu.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.