
Barisan Nasional, BN, menegaskan tidak akan mencampuri urusan dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Bersatu, susulan tindakan pemecatan beberapa pemimpin parti itu baru-baru ini.
Setiausaha Agung BN, Zambry Abdul Kadir berkata, adalah tidak wajar untuk BN terlibat dalam sebarang langkah ketika parti berkenaan sedang berdepan konflik dalaman.
Menurut beliau, sebarang tindakan atau keputusan berkaitan perkara tersebut perlu diselesaikan oleh kepimpinan serta ahli parti terbabit tanpa campur tangan pihak luar.
Serah kepada parti selesaikan sendiri
“Kita tidak mahu orang kata kita masuk campur ataupun terlibat dalam apa yang berlaku dalam parti yang berkenaan.
“Dalam keadaan mereka berantakan sesama sendiri, tidak wajar untuk kita datang sama ada melakukan langkah-langkah menyelamat atau memberi ruang tertentu. Biarlah mereka selesaikan sesama mereka terlebih dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Santuni Pesakit Hospital Seri Manjung bersempena Ramadan dan Tahun Baharu Cina 2026 di sini, pada Sabtu.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu berkata, dalam suasana politik semasa, pelbagai spekulasi timbul termasuk dakwaan kononnya terdapat pemimpin tertentu yang cuba mendekati BN.
“Macam-macam kita dengar. Tetapi pada peringkat ini, sepertimana disebutkan Presiden kami, Ahmad Zahid Hamidi, kita mengambil pendekatan untuk tidak mencampuri masalah mereka,” katanya.
BN tetap pantau perkembangan semasa
Bagaimanapun, beliau mengakui BN sentiasa memerhati perkembangan semasa yang melibatkan parti-parti politik lain, termasuk apa yang sedang berlaku dalam Bersatu.
“Sebagai parti politik, takkanlah kita hendak pejamkan mata, pekakkan telinga seolah-olah tidak tahu apa yang berlaku. Kita tengoklah,” ujarnya.
Pada 13 Februari lalu, Lembaga Disiplin Bersatu dilaporkan memecat 17 ahlinya termasuk empat Ahli Parlimen dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri.
Antara yang dipecat ialah Timbalan Presiden Bersatu merangkap Ahli Parlimen Larut, Hamzah Zainudin; Ahli Parlimen Gerik, Fathul Huzir Ayob; Ahli Parlimen Padang Rengas, Kapten Azahari Hasan; serta Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Dua Ahli Dewan Undangan Negeri yang turut dipecat ialah Zainol Fadzi Paharudin bagi Sungai Manik, Perak dan Mohd Yadzil Yaakub bagi Bemban, Melaka yang juga Ketua Pembangkang negeri berkenaan.
Pemecatan cetus reaksi dalaman
Perkembangan tersebut mencetuskan pelbagai reaksi termasuk pembubaran jawatankuasa Bahagian Bersatu di beberapa negeri.