
Bank Negara Malaysia mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada paras 2.75 peratus, mencerminkan pendirian dasar monetari yang terus menyokong pertumbuhan ekonomi dalam persekitaran harga yang stabil.
Bank pusat memaklumkan keputusan itu dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari, yang menilai tahap OPR semasa, dikekalkan sejak Julai 2025, sebagai sesuai bagi memastikan kestabilan makroekonomi sambil menyokong momentum pertumbuhan domestik.
Menurut Bank Negara Malaysia, pertumbuhan ekonomi negara pada 2025 dijangka berada hampir paras atas julat unjuran dan momentum tersebut dijangka berterusan pada 2026.
Permintaan domestik dan pelaburan kekal pemacu utama
Bank pusat berkata pertumbuhan itu disokong oleh permintaan dalam negeri yang berdaya tahan, termasuk keadaan guna tenaga, pertumbuhan upah serta langkah dasar berkaitan pendapatan yang terus menyokong perbelanjaan isi rumah.
Aktiviti pelaburan pula dijangka dipacu oleh kemajuan projek berbilang tahun dalam sektor swasta dan awam, pelaksanaan projek awam baharu berskala kecil, pelaksanaan berterusan pelaburan yang telah diluluskan serta pelan induk nasional yang terus dilaksanakan.
Di samping itu, sektor luaran dijangka mendapat manfaat daripada eksport elektrik dan elektronik yang kekal kukuh serta peningkatan perbelanjaan pelancong.
Namun begitu, Bank Negara Malaysia menegaskan prospek pertumbuhan kekal tertakluk kepada ketidakpastian global, termasuk risiko perdagangan global yang lebih perlahan dan pengeluaran komoditi yang lebih rendah daripada jangkaan.
Inflasi sederhana, risiko global terus dipantau
Menurut Bank Negara Malaysia, inflasi keseluruhan dan inflasi teras masing-masing mencatat purata 1.4 peratus dan 2.0 peratus pada 2025.
Bagi 2026, inflasi keseluruhan dijangka kekal sederhana berikutan keadaan kos global yang terus reda, manakala harga komoditi global dijangka kekal terkawal dan menyumbang kepada keadaan kos domestik yang stabil.
Inflasi teras pula dijangka kekal stabil dan hampir dengan purata jangka panjang, mencerminkan pengembangan berterusan kegiatan ekonomi tanpa tekanan permintaan yang berlebihan.
Di peringkat global, Bank Negara Malaysia memaklumkan pertumbuhan pada 2025 adalah lebih tinggi daripada jangkaan, disokong oleh tarif yang lebih rendah, perbelanjaan teknologi berkaitan kecerdasan buatan serta sokongan fiskal yang lebih kukuh.
Bagi 2026, meskipun kesan tarif boleh mempengaruhi pertumbuhan global, prospek kekal berdaya tahan disokong oleh permintaan domestik berterusan, inflasi yang semakin berkurang serta sokongan dasar fiskal dan monetari.
Bagaimanapun, risiko pertumbuhan menjadi perlahan masih wujud, termasuk kemungkinan tarif lebih tinggi, ketegangan geopolitik yang meningkat serta volatiliti dalam pasaran kewangan global.
Pada paras OPR semasa, Jawatankuasa Dasar Monetari berpandangan pendirian dasar monetari kekal wajar dan menyokong ekonomi dalam keadaan harga yang stabil, sambil terus memantau perkembangan dan imbangan risiko pertumbuhan serta inflasi domestik.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.