
Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 pada kadar antara 4% hingga 4.8%, mengambil kira pelbagai kemungkinan hasil daripada rundingan tarif.
Gabenor BNM, Abdul Rasheed Ghaffour berkata, bank pusat mengambil anggapan tarif antara 25% hingga 30% dalam rundingan tersebut.
Eksport Malaysia ke Amerika Syarikat telah dikenakan tarif 19% berkuat kuasa 1 Ogos lalu.
“Tidak perlu bagi kita untuk menyemak semula angka pertumbuhan. Dari segi keseimbangan risiko dan keuntungan, penyelesaian rundingan telah mengurangkan ketidaktentuan.
Namun, masih wujud ketidaktentuan seperti tarif khusus sektor dan perbincangan dengan beberapa negara yang belum dimuktamadkan,” katanya kepada Bernama selepas mengumumkan pertumbuhan ekonomi suku kedua 2025 Malaysia hari ini.
Rasheed turut berkata, ringgit mengukuh sebanyak 5.1% berbanding dolar AS pada suku kedua, didorong oleh kelemahan dolar AS secara menyeluruh.
Beliau berkata, ini dipacu oleh jangkaan pertumbuhan ekonomi AS yang lebih perlahan, ketidaktentuan dasar perdagangan AS yang meningkat, dan kebimbangan terhadap kemampanan fiskalnya.
“Usaha bersepadu berterusan oleh kerajaan dan BNM, termasuk penglibatan proaktif dengan syarikat korporat dan pelabur, telah menyokong aliran dua hala yang sihat di pasaran pertukaran asing domestik pada suku tersebut,” katanya.
Kadar pertukaran efektif nominal (NEER) ringgit juga meningkat sebanyak 1.5% berbanding mata wang rakan dagang utama Malaysia pada suku kedua.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.