
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Afnan Hamimi Taib Azamudden menyatakan kebimbangan bahawa pelaksanaan pilihan raya Datuk Bandar atau pihak berkuasa tempatan (PBT) berisiko menyebabkan jurang perbezaan kaum di negara ini semakin melebar.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Alor Setar menjelaskan bahawa taburan penduduk mengikut kaum di kawasan bandar dan luar bandar adalah berbeza.
Menurutnya, pelaksanaan pilihan raya tersebut hanya akan menonjolkan polarisasi kaum yang lebih ketara, justeru Pemuda PAS tetap dengan pendirian untuk membantah cadangan itu.
Afnan turut mendakwa walaupun kajian tersebut dijalankan oleh pihak akademik dari UIAM, keputusan dasar tetap berada di bawah bidang kuasa Menteri yang mewakili DAP.
Beliau menyifatkan kajian tersebut sebagai usaha untuk melaksanakan agenda lama DAP yang memperjuangkan pilihan raya PBT.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menegaskan bahawa kajian pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur masih di peringkat awal dan tidak melibatkan pelaksanaan dasar atau pindaan undang-undang buat masa ini. Segala keputusan hanya akan dibawa ke Kabinet selepas hasil kajian penuh diperoleh.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.