
Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh mengumumkan beliau akan meletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka berkuat kuasa minggu depan.
Pengumuman itu dibuat pada Perhimpunan Agung Pemuda Umno, dengan Akmal berkata beliau terlebih dahulu membincangkan perkara tersebut bersama Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh.
Ahli Dewan Undangan Negeri Merlimau itu berkata beliau melepaskan jawatan dalam kerajaan negeri bagi melawan DAP habis-habisan.
Bagaimanapun, beliau akan kekal sebagai Ketua Pemuda Umno bagi membuktikan bahawa beliau tidak akan lari daripada perjuangan mempertahankan agama, bangsa dan tanah air.
Menurutnya, jawatan Ketua Pemuda Umno lebih penting berbanding jawatan Exco kerana ia melibatkan maruah, prinsip dan suara akar umbi.
“Saya nak beritahu kepada yang tanya saya ‘lu siapa’, saya jawab – saya ada maruah. Kamu ada atau tidak?
“Saya juga beri amaran kepada pihak yang sering menyerang saya, Presiden Umno dan Ketua Menteri Melaka. Apabila saya tidak lagi berada dalam Exco, saya akan lawan kamu habis-habisan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung Umno 2025 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Sebelum ini, DAP Melaka membidas gesaan Akmal supaya parti itu keluar daripada Kerajaan Perpaduan, dengan menyatakan beliau tidak mempunyai kuasa menentukan hala tuju kerajaan.
Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong berkata, gesaan itu tidak berasas dan melangkaui bidang kuasa Akmal.
Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) turut menggesa Akmal melepaskan jawatan Ketua Pemuda Umno selepas Zahid menegaskan Umno akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.