
Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, menolak gesaan Pemuda DAP Pulau Pinang supaya memutuskan hubungan politik dengannya.
Adun Merlimau itu menegaskan langkah tersebut sama seperti memutuskan hubungan dengan seluruh sayap Pemuda Umno, dan secara tidak langsung, dengan parti teras Barisan Nasional (BN) itu sendiri.
“Silakan,” katanya ringkas dalam hantaran di Facebook hari ini sambil memaparkan tangkap layar artikel berita mengenai gesaan berkenaan.
Sebelum ini, DAPSY Pulau Pinang menggesa kepimpinan parti memutuskan hubungan dengan Akmal susulan tindakannya yang didakwa bersifat provokatif.
Gesaan itu dibuat sehari selepas Akmal mengetuai protes di hadapan sebuah kedai perkakasan di Kepala Batas, Pulau Pinang, selepas pemiliknya, Pang Chin Tian, dirakam menggantung Jalur Gemilang secara terbalik.
Pang menjelaskan bendera itu tersalah digantung ketika beliau mengukur panjang sebatang tiang besi.
Polis telah membuka kertas siasatan berhubung kejadian itu dan meminta semua pihak bertenang.
Bagaimanapun, Akmal meneruskan tindakan mengetuai sekumpulan ahli Pemuda Umno berkumpul di hadapan kedai berkenaan, dengan kehadiran anggota Pemuda Bersatu.
Protes yang disertai kira-kira 300 orang itu diadakan selepas Akmal mengugut untuk hadir dan “mengajar” Pang sekiranya pihak berkuasa tidak mendakwanya dalam tempoh dua hari.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.