
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik dengan kehadiran anggota tentera asing, konvoi atau aktiviti ketenteraan di beberapa kawasan di Selangor.
Markas Angkatan Bersama (JFHQ) dalam satu kenyataan berkata, kehadiran pasukan itu adalah sebahagian daripada Latihan Aman Youyi 2025, latihan dwipihak antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China.
Latihan tersebut akan berlangsung dari 15 hingga 23 Oktober, melibatkan kawasan sekitar Klang, Subang, Puchong dan Selat Melaka.
“Orang ramai khususnya penduduk di kawasan berkenaan dinasihatkan agar tidak panik apabila melihat kehadiran tentera asing, pergerakan kenderaan atau aktiviti ketenteraan sepanjang tempoh latihan ini,” kata kenyataan itu.
JFHQ menjelaskan bahawa latihan dwi-tahunan ini bertujuan meningkatkan kebolehoperasian bersama, memperkukuh hubungan ketenteraan dua hala serta mempertingkat kesiapsiagaan bagi operasi kemanusiaan dan keselamatan maritim.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.