
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menekankan kepentingan dialog dan saling menghormati dalam usaha meredakan ketegangan antara Cambodia dan Thailand, susulan perbincangan beliau bersama pemimpin kedua-dua negara.
Menurut Anwar, perbincangan tersebut memberi tumpuan kepada usaha mencari hala tuju terbaik bagi mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau.
Beliau berkata sebarang konflik perlu ditangani secara aman tanpa menjejaskan hubungan dua hala serta kerjasama yang telah lama terjalin.
“Pendekatan berlandaskan dialog dan saling menghormati amat penting bagi menamatkan ketegangan serta memelihara keamanan rantau ini,” katanya menerusi hantaran Facebook pada Ahad.
Anwar turut menyifatkan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang dijadual berlangsung pada Isnin sebagai platform paling sesuai untuk perundingan terbuka dan konstruktif.
Beliau berkata mesyuarat itu membolehkan kedua-dua pihak berbincang secara matang, menyelesaikan perbezaan secara aman dan mencapai penyelesaian yang adil serta berkekalan.
Anwar menegaskan ASEAN secara konsisten mengangkat prinsip dialog dan konsensus dalam menangani isu serantau, sejajar dengan komitmen Malaysia terhadap keamanan, kestabilan dan kerjasama.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.