
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggesa Thailand dan Kemboja menghentikan semua tindakan ketenteraan rentas sempadan menjelang jam 10 malam waktu tempatan (UTC+7) hari ini, ketika pertempuran di kawasan sempadan yang dipertikaikan semakin memuncak dan lebih 500,000 penduduk terpaksa berpindah ke kawasan selamat.
Dalam satu kenyataan, Anwar berkata beliau telah membuat rayuan itu dalam dua panggilan berasingan kepada Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet.
“Dalam perbincangan tersebut, saya menyuarakan kebimbangan serius Malaysia serta menggesa kedua-dua pihak agar menghentikan segala bentuk permusuhan, dan tidak melakukan sebarang tindakan ketenteraan lanjut, termasuk penggunaan kekerasan atau menggerakkan pasukan bersenjata ke barisan hadapan, berkuat kuasa pada jam 10.00 malam, 13 Disember 2025 (UTC+7),” katanya.
Bagi menyokong usaha meredakan ketegangan dan meningkatkan ketelusan, Anwar berkata beliau telah meminta penempatan Pasukan Pemerhati ASEAN yang diketuai Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Nizam Jaffar, bagi memantau perkembangan di lapangan.
Misi itu, katanya, akan diperkukuh dengan keupayaan pemantauan satelit yang disediakan oleh kerajaan Amerika Syarikat, yang akan bermula pada masa yang sama.
Sebagai pengerusi Asean bagi tahun 2025, Anwar berkata data yang diperoleh daripada pemantauan satelit dan pemerhatian di lapangan akan dibentangkan pada mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asean pada Selasa ini bagi memberikan gambaran objektif mengenai situasi sebenar.
Beliau mengulangi komitmen Malaysia untuk bekerjasama rapat dengan rakan-rakan Asean dan masyarakat antarabangsa, sambil menegaskan bahawa dialog, diplomasi dan sikap berhemah adalah jalan terbaik untuk memelihara keamanan dan kestabilan serantau.
Sejak konflik sempadan terbaharu tercetus semula minggu ini, lebih 500,000 penduduk di Thailand dan Kemboja terpaksa meninggalkan kediaman mereka, melebihi angka pemindahan ketika insiden serupa awal tahun ini.
Pertempuran minggu ini adalah yang paling dahsyat sejak pertempuran lima hari pada Julai lalu yang meragut puluhan nyawa dan memaksa kira-kira 300,000 orang dipindahkan sebelum satu perjanjian gencatan senjata dicapai hasil perantaraan Anwar dan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Thailand dan Kemboja telah berdepan pertikaian berhubung sebahagian daripada sempadan darat sepanjang 817km selama lebih satu abad, dengan perbalahan mengenai kuil-kuil purba beberapa kali mencetuskan pertembungan bersenjata, termasuk serangan artileri selama seminggu pada 2011.
Ketegangan kembali memuncak pada Mei lalu apabila seorang askar Kemboja terbunuh dalam satu insiden tembak-menembak, sekali gus mencetuskan penempatan besar-besaran anggota tentera dan siri pertempuran baharu yang menjejaskan hubungan diplomatik kedua-dua negara.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.