
Kerajaan Amerika Syarikat mengumumkan garis panduan baharu yang kontroversi mengenai pencegahan dan rawatan autisme pada kanak-kanak, termasuk menasihatkan wanita hamil agar tidak mengambil paracetamol (acetaminophen/Tylenol) serta mencadangkan penggunaan ubat leucovorin untuk merawat masalah pertuturan pada kanak-kanak autisme.
Leucovorin ialah derivatif asid folik (vitamin B) yang biasanya diperoleh daripada kekacang, buah sitrus, dan bijirin diperkaya. Ubat ini lazim digunakan dalam rawatan kanser, meningkatkan keberkesanan fluorouracil dan mengurangkan toksik metotreksat.
Cadangan ini berpunca daripada teori yang mengaitkan kekurangan asid folik otak (cerebral folate deficiency) dengan autisme. Kanak-kanak yang mengalami kekurangan ini sering menunjukkan masalah pertuturan, sawan dan kelewatan perkembangan pada usia sama ketika autisme mula dikesan.
Kajian semakan pada 2021 melibatkan 21 kajian mendapati leucovorin boleh membantu mengurangkan simptom autisme, namun bukti tidak konklusif. Kajian kecil di AS pada 2024 dengan 80 kanak-kanak menunjukkan kesan positif, manakala kajian 2025 di China mendapati peningkatan dalam kemahiran sosial.
Leucovorin juga mempunyai kesan sampingan serius seperti alahan, sawan dan loya. Walaupun FDA kini membenarkan penggunaannya, pakar menegaskan ujian klinikal lebih besar diperlukan. Rawatan autisme kekal berasaskan amalan terbaik bukti sedia ada.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.