
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membatalkan rancangan memperoleh empat helikopter Black Hawk terpakai bernilai RM187 juta selepas titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Panglima ATM Jeneral Nizam Jaffar mengesahkan keputusan itu dibuat berikutan peringatan Sultan Ibrahim beberapa hari lalu yang menegaskan Kementerian Pertahanan tidak boleh membahayakan juruterbang dengan “keranda terbang”.
“Kami akur dengan titah Seri Paduka,” kata Nizam seperti dipetik Utusan Malaysia.
Sultan Ibrahim, selaku Pemerintah Tertinggi ATM, menegaskan helikopter berusia lebih 30 tahun itu tidak wajar diteruskan. Baginda mengingatkan kembali kontroversi pembelian 40 pesawat A-4PTM SkyHawk terpakai pada 1980-an, berbanding rancangan asal untuk memperoleh 88 jet.
Terdahulu, pada November tahun lalu, Kementerian Pertahanan sudah membatalkan kontrak pajakan bernilai RM187 juta dengan Aerotree Defence and Services Sdn Bhd selepas syarikat itu gagal memenuhi tarikh penghantaran pada Oktober.
Empat helikopter itu sepatutnya dipajak selama lima tahun bagi menyokong Nucleus Pasukan Udara Tentera Darat dalam misi latihan dan operasi. Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari sebelum ini berkata pada Julai 2024 bahawa kelewatan berpunca daripada konflik perang di Ukraine.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.