
Penampilan 85 peratus calon baharu Barisan Nasional (BN) Sabah pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) mencerminkan kesungguhan parti itu untuk membawa perubahan dan pembaharuan kepimpinan di negeri berkenaan.
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu menunjukkan BN serius dalam menawarkan calon berwibawa dan berpotensi bagi memacu kemajuan Sabah agar seiring dengan pembangunan negara.
“Itu menunjukkan BN sangat serius untuk membawa perubahan serta memberi peluang kepada calon-calon baharu dan muda yang mungkin mampu membawa kemajuan lebih baik kepada Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Program Sekolah Angkat Madani Kementerian Pertahanan di Sekolah Kebangsaan Felda Lok Heng, di Kota Tinggi, semalam.
Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan berkata, pembangunan negeri seperti Sabah hanya akan berjaya sekiranya wujud hubungan rapat dengan kerajaan Persekutuan bagi memastikan dasar serta program pembangunan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.
“Sabah dan mana-mana negeri, jika ingin dibangunkan dengan baik, perlu ada hubungan rapat dengan kerajaan pusat,” katanya.
Mengenai siapa yang akan menjadi ‘poster boy’ BN bagi PRN Sabah, beliau berkata perkara itu akan diumumkan oleh pengerusi parti pada masa yang sesuai.
Semalam, BN Sabah mengumumkan 41 calon parti itu, kebanyakannya muka baharu dan calon muda, selain mengekalkan beberapa pemimpin berpengalaman bagi memastikan kesinambungan kepimpinan.
Parti itu menampilkan 85 peratus calon baharu termasuk golongan profesional muda sebagai bukti kesediaannya membawa perubahan signifikan dalam pembangunan serta mengeluarkan Sabah daripada kepompong kemiskinan.
PRN Sabah akan berlangsung pada 29 November ini.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.