
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan parti-parti komponen dalam gabungan itu supaya tidak menyesal sekiranya meninggalkan BN, kerana BN tidak akan menerima mereka kembali.
Walaupun beliau tidak menyebut mana-mana parti secara khusus, kenyataan itu dipercayai merujuk kepada MIC yang dikatakan sedang berdepan ketegangan hubungan dalam BN.
Ahmad Zahid berkata sejarah persahabatan dan kesetiaan lebih tujuh dekad dalam BN wajar dihargai dan tidak diketepikan hanya kerana wujud rasa tidak puas hati atau “kemabukan kuasa”.
“Jangan buat keputusan hanya kerana ‘mabuk kuasa’ dan tanpa mengira kita adalah kawan lebih dari 70 tahun. Saya bimbang ada pihak yang akhirnya berada dalam keadaan gantung tidak bertali,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Agung IPF Malaysia di Setia Ecohill hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan politik bukan medan untuk membuat keputusan ketika marah, sedih atau terdesak.
Sebaliknya, katanya, politik memerlukan kesabaran dan pertimbangan rasional kerana landskap politik sentiasa berubah.
Pada masa sama, beliau turut menyindir ada “pihak” tertentu yang sebelum ini enggan mendekati Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Madani, namun selepas kerajaan itu stabil, mereka mendakwa kononnya dipinggirkan serta dianaktirikan.
Ditanya wakil media selepas majlis itu sama ada MIC ada menghantar sebarang resolusi atau surat mengenai “ keluar BN”, Ahmad Zahid berkata beliau tidak nampak apa-apa resolusi atau surat dan BN belum membuat sebarang keputusan mengenainya.
Bagaimanapun, katanya, jika MIC tidak dapat membuat keputusan, BN akan membuat keputusan berhubung perkara yang sama.
Ahmad Zahid turut memaklumkan kedua-dua pihak tidak mengadakan sebarang pertemuan selepas Mesyuarat Perwakilan Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) MIC ke-79 yang lalu.
Dalam AGM pada bulan lalu itu, perwakilan MIC sebulat suara meluluskan usul untuk keluar daripada BN dan menyertai Perikatan Nasional (PN).
Namun, perwakilan turut bersetuju keputusan muktamad ditangguhkan sehingga Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) akan datang, bagi memberi ruang kepada kepimpinan tertinggi parti membuat pertimbangan menyeluruh.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.