
Bank Negara Malaysia (BNM) telah menyemak semula unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi tahun 2025 kepada antara 4.0% hingga 4.8%, berbanding unjuran terdahulu antara 4.5% hingga 5.5%.
Menurut kenyataan BNM hari ini, semakan itu mengambil kira pelbagai senario tarif, daripada kadar tarif yang tinggi kepada kemungkinan hasil rundingan perdagangan yang lebih baik.
Unjuran tersebut masih tertakluk kepada ketidaktentuan ekonomi global, sama ada positif atau negatif.
“Hasil rundingan perdagangan yang menguntungkan, dasar pro-pertumbuhan di ekonomi utama, permintaan berterusan terhadap barangan elektrik dan elektronik serta pelancongan yang kukuh boleh menggalakkan eksport dan pertumbuhan Malaysia,” kata BNM.
Gabenor BNM, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata ekonomi Malaysia kekal teguh meskipun berdepan cabaran global, hasil reformasi struktur yang dijalankan sejak beberapa tahun lalu.
“Kekuatan aktiviti ekonomi yang berterusan dan inflasi yang sederhana mewujudkan persekitaran yang menyokong reformasi struktur ke arah Malaysia yang lebih berdaya saing,” katanya.
BNM menjangkakan inflasi keseluruhan akan kekal sederhana antara 1.5% hingga 2.3% pada tahun 2025, selaras dengan unjuran kos dan permintaan yang lebih sederhana sejak Mac lalu.
Tekanan inflasi daripada harga komoditi global dijangka kekal terhad dan menyumbang kepada kestabilan kos domestik.
BNM turut menekankan bahawa landskap ekonomi global telah berubah sejak laporan unjuran Mac 2025, dipengaruhi oleh dasar perdagangan dan ketegangan geopolitik.
“Sebagai sebuah ekonomi kecil yang terbuka, pertumbuhan Malaysia akan dipengaruhi oleh perubahan ini. Namun, ekonomi kita berada dalam keadaan yang kukuh untuk menghadapinya,” katanya.
Petunjuk ekonomi terkini menunjukkan aktiviti ekonomi kekal kuat pada suku kedua, dengan permintaan domestik yang berdaya tahan akan terus menyokong pertumbuhan.
Keadaan pasaran buruh yang positif, terutamanya dalam sektor domestik, serta pelbagai langkah dasar akan terus menyokong penggunaan swasta.
Aktiviti pelaburan pula akan dipacu oleh kemajuan projek infrastruktur jangka panjang, pelaksanaan pelaburan yang diluluskan, serta inisiatif strategik di bawah rancangan pembangunan negara.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.