
Ahli Exco Kerajaan Pulau Pinang bagi Pelancongan dan Ekonomi Kreatif merangkap ADUN Paya Terubong, Wong Hon Wai mengecam cadangan menjadikan Pulau Pinang sebagai “Wilayah Khas Kedah” yang dikemukakan oleh tokoh akademik Ahmad Murad Merican.
Pada forum “Merungkai Polemik Persejarahan Malaysia: Antara Fakta dan Tafsiran” di Universiti Kebangsaan Malaysia minggu lalu, Pengarah Pusat Kajian Ketamadunan Melayu Islam ISTAC IIUM itu mencadangkan beberapa pilihan berkaitan kedudukan Pulau Pinang.
Antaranya ialah cadangan agar Pulau Pinang dijadikan Wilayah Khas Kedah menyerupai model Hong Kong sebagai wilayah pentadbiran khas di bawah China, dengan mengekalkan struktur institusi, ekonomi dan politik yang sedia ada, tetapi diletakkan di bawah pentadbiran Kedah – termasuk kemungkinan Yang Dipertua Negeri dilantik daripada Istana Kedah.
Selain itu, beliau turut mencadangkan agar Pulau Pinang dijadikan sebahagian daripada Wilayah Persekutuan atau memasukkan lima daerah Pulau Pinang ke dalam Kedah. Ahmad Murad juga menegaskan pandangannya bahawa Pulau Pinang adalah sebahagian daripada Kedah dan tidak pernah wujud pemisahan sebenar antara kedua-duanya.
Sebagai sebahagian daripada cadangan penyelesaian, beliau mencadangkan sebuah tribunal diketuai Peguam Negara ditubuhkan bagi mengumpul pandangan mengenai polemik status Pulau Pinang, dengan mengambil ilham daripada Tribunal Waitangi di New Zealand. Cadangan-cadangan ini timbul ketika Kedah, melalui Menteri Besar Muhammad Sanusi, dilaporkan sedang meneliti langkah undang-undang susulan titah Sultan Kedah pada 2023 supaya isu pajakan dan kedudukan Pulau Pinang diperjelas secara telus.
Dalam kenyataan media hari ini, Wong berkata beliau sangat terkilan dan terkejut dengan cadangan tersebut.
Beliau menegaskan kenyataan itu telah mencabar struktur asas pembentukan Persekutuan Malaysia serta Perlembagaan Persekutuan.
Menurut Wong, hubungan Pulau Pinang dan Kedah telah termaktub dan selesai di bawah Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan 1957, yang mengiktiraf Kedah dan Pulau Pinang masing-masing sebagai negeri berdaulat dan bersama-sama negeri-negeri lain membentuk Persekutuan Malaysia.
“Ini merupakan struktur asas pembentukan Persekutuan Malaysia dan juga struktur Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Wong turut menyatakan bahawa Ahmad Murad “nampaknya menari seiring dan senada” dengan Menteri Besar Kedah, dan kedua-dua kenyataan mereka telah gagal menghayati prinsip pembentukan Persekutuan Malaysia.
“Perlembagaan Persekutuan adalah batu asas kepada pembentukan kenegaraan Malaysia. Kenyataan mereka tidak mencerminkan penghayatan yang tepat terhadap perkara ini,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kedudukan Pulau Pinang sebagai negeri berdaulat tidak boleh dikaburkan, dan sebarang cadangan untuk menjadikannya sekadar “Wilayah Khas Kedah” adalah satu langkah yang melemahkan struktur Persekutuan dan tertib perlembagaan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.