
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Razali Idris mencadangkan agar Presiden partinya, Muhyiddin Yassin dan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan empat mata.
Langkah itu bertujuan membincangkan kemungkinan jalinan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Razali, yang juga merupakan Exco Kerajaan Terengganu, menyatakan bahawa kerjasama antara kedua-dua parti tersebut bukan sesuatu yang mustahil memandangkan mereka pernah berada dalam satu kerajaan di bawah pentadbiran Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berpendapat, penyatuan orang Melayu-Islam harus bermula dari peringkat kepimpinan tertinggi sebelum diikuti oleh akar umbi.
“Adalah lebih baik Muhyiddin dan Zahid duduk bersama dan mencari formula untuk kita bekerjasama menghadapi PRU16,” katanya kepada FMT.
Beliau turut menegaskan bahawa perbincangan itu tidak seharusnya membabitkan pembubaran Bersatu atau menghidupkan semula Muafakat Nasional yang telah terkubur.
Sementara itu, Ahmad Zahid Hamidi ketika ditanya pemberita semalam tidak menolak kemungkinan kerjasama tersebut. Walaupun Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu sebelum ini menyatakan komitmen untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan sehingga PRU16, kenyataan terbaharunya dilihat lebih terbuka susulan ketegangan yang dilaporkan berlaku dalam gabungan sedia ada, terutamanya dengan DAP.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.