
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Intel, Tan Lip-Bu dijadualkan bertemu Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di White House hari ini, susulan desakan terbuka Trump minggu lalu supaya beliau meletakkan jawatan, lapor Wall Street Journal yang memetik sumber.
Tan dijangka mengadakan perbincangan panjang bersama Trump bagi menjelaskan latar belakang peribadi dan profesionalnya, serta mencadangkan bentuk kerjasama antara Intel dan kerajaan AS. Beliau mahu meyakinkan Trump dengan menunjukkan komitmennya kepada AS dan menekankan kepentingan keupayaan pembuatan Intel sebagai isu keselamatan negara.
Minggu lalu, Trump mendakwa Tan mempunyai “konflik kepentingan besar” kerana hubungan dengan syarikat China, sambil mempersoalkan kemampuannya untuk memulihkan Intel.
Tan, kelahiran Malaysia berketurunan Cina-Amerika, berkata beliau berkongsi komitmen Trump dalam memperkukuh keselamatan negara dan ekonomi AS.
Pada April lalu, Reuters melaporkan bahawa Tan telah melabur sekurang-kurangnya AS$200 juta dalam ratusan syarikat pembuatan dan cip canggih di China, termasuk yang mempunyai kaitan dengan tentera China.
Tan pernah menjadi CEO Cadence Design Systems dari 2008 hingga Disember 2021, ketika mana syarikat itu menjual perisian reka bentuk cip kepada sebuah universiti tentera China yang didakwa terlibat dalam simulasi letupan nuklear.
Bulan lalu, Cadence bersetuju untuk mengaku bersalah dan membayar lebih AS$140 juta bagi menyelesaikan pertuduhan di AS berhubung penjualan tersebut.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.