
Suhu purata permukaan Malaysia telah meningkat antara 0.6°C hingga 1.2°C sepanjang tempoh 40 tahun, iaitu dari 1969 hingga 2009, menandakan negara kini berdepan krisis iklim yang semakin tidak menentu akibat pemanasan global.
Fenomena cuaca ekstrem seperti kepanasan melampau, hujan lebat mengejut, banjir kilat berulang, serta ribut petir tanpa mengira musim kini bukan lagi kejadian terpencil.
Unjuran menunjukkan sekiranya langkah mitigasi berkesan tidak dilaksanakan segera, peningkatan suhu boleh mencecah 1.5°C hingga 2.0°C menjelang 2050.
Gas Rumah Hijau Punca Utama Pemanasan Global
Pensyarah kanan Institut Perubahan Iklim Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Ricky Anak Kemarau, berkata punca utama pemanasan global ialah gas rumah hijau (GHG).
Gas seperti karbon dioksida (CO₂), metana (CH₄) dan nitrous oksida (N₂O) memerangkap haba di atmosfera melalui kesan rumah hijau, sekali gus menyumbang kepada peningkatan suhu dunia.
“Sebagai contoh, karbon dioksida boleh kekal di atmosfera selama 100 hingga 1,000 tahun bergantung kepada kitarannya.
Metana pula 84 kali lebih kuat berbanding karbon dioksida dalam tempoh 10 hingga 12 tahun, manakala klorofluorokarbon (CFC) boleh bertahan lebih 100 tahun serta merosakkan lapisan ozon,” katanya.
Beliau menambah, peningkatan mendadak GHG berpunca daripada pembakaran bahan api fosil bagi penjanaan tenaga, khususnya arang batu yang menyumbang 30 hingga 40 peratus pelepasan CO₂ global. Aktiviti industri, pengangkutan dan penebangan hutan turut mempercepatkan pelepasan karbon serta memusnahkan kawasan semula jadi yang bertindak sebagai penyerap karbon.
Kini, paras karbon dioksida global telah melepasi 420 bahagian per juta (ppm) – tahap tertinggi dalam sejarah manusia dan jauh mengatasi tahap stabil 280 ppm sebelum Revolusi Perindustrian.
Tindakan Segera Diperlukan
Menurut Ricky, tanggungjawab negara bukan sekadar mengurangkan pelepasan, tetapi juga memperkukuh ketahanan terhadap risiko iklim masa depan.
“Jika dunia berjaya menyelamatkan lapisan ozon melalui Protokol Montreal, kita juga mampu mengurangkan krisis iklim – namun hanya jika semua pihak bertindak secara kolektif,” tegasnya.
Fenomena ini bukan hanya melanda Malaysia, sebaliknya turut dialami negara Asia lain yang kini berdepan bencana alam lebih kerap akibat perubahan suhu global.
Bukti Saintifik Kesan Aktiviti Manusia
Kajian terkini, termasuk laporan Intergovernmental Panel on Climate Change (IPCC) dan jurnal Nature Climate Change, menunjukkan lebih 80 peratus kejadian cuaca ekstrem dalam dua dekad lalu berpunca daripada aktiviti manusia.
“Kita sedang menyaksikan kesan sebenar daripada aktiviti harian yang kelihatan biasa — pembakaran bahan api fosil, penebangan hutan dan perubahan guna tanah tanpa kawalan. Gabungan tindakan ini memanaskan bumi, dan pemanasan itu memacu cuaca ekstrem,” katanya.
Salah satu kesan ketara ialah peningkatan kekerapan dan keterukan gelombang haba, khususnya di kawasan bandar.
Beliau menjelaskan bahawa pembinaan bandar tanpa ruang hijau mencetuskan fenomena pulau haba bandar yang meningkatkan suhu sehingga mampu menyebabkan strok haba, kegagalan jantung serta kerosakan infrastruktur.
Selain itu, atmosfera yang lebih panas menyimpan lebih banyak wap air yang akhirnya menghasilkan hujan lebih lebat daripada biasa.
“Inilah sebabnya kita melihat peningkatan trend hujan. Malangnya, infrastruktur bandar tidak direka untuk menampung jumlah air sebegitu, menyebabkan banjir kilat berulang,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.