
DAP hari ini mengakui bahawa kekalahan menyeluruh parti itu dalam pilihan raya Sabah mencerminkan krisis keyakinan serius terhadap parti berkenaan dan Pakatan Harapan (PH), sambil menegaskan DAP Sabah tidak akan menerima sebarang jawatan dalam kerajaan negeri, termasuk kerusi ADUN lantikan.
Dalam kenyataan selepas mesyuarat tergempar Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) malam tadi, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook berkata parti telah menerima “isyarat yang kuat dan jelas” daripada pengundi, sementara pemimpin kempen berdepan rasa tidak puas hati yang meluas sepanjang tempoh berkempen.
“Selepas membuat penelitian secara mendalam, kami akan mengumpulkan semua maklum balas yang diterima dan bekerjasama rapat dengan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, untuk mempercepat agenda reformasi dalam tempoh enam bulan akan datang,” katanya.
Beliau berkata DAP Sabah telah memaklumkan kepada CEC keputusan mereka untuk tidak mengambil sebarang jawatan dalam kerajaan negeri walaupun ditawarkan.
“Para pemimpin DAP Sabah akan terus berkhidmat secara aktif kepada rakyat Sabah dan berusaha memulihkan semula keyakinan awam,” katanya.
Dalam pilihan raya pada Sabtu lalu, DAP tewas di semua lapan kerusi yang ditandinginya. Enam kerusi yang sebelum ini dipegang parti itu – Likas, Kapayan, Elopura, Luyang, Tanjong Papat dan Sri Tanjong – semuanya dimenangi Warisan.
Pada malam pengundian, Loke telah menyatakan bahawa beliau menerima sepenuhnya tanggungjawab atas kekalahan tersebut dan kepimpinan parti akan mengambil iktibar daripada prestasi DAP di Sabah.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.