
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mendapati masih wujud kecenderungan dalam kalangan agensi kerajaan untuk menggunakan bahasa asing secara berlebihan, termasuk pada nama dan slogan program yang sepenuhnya dalam bahasa asing.
Dalam satu kenyataan, DBP menegaskan tindakan sedemikian tidak selari dengan aspirasi kerajaan dan citra kebangsaan, selain memperlekeh usaha pemerkasaan bahasa kebangsaan yang sedang giat dilaksanakan.
“DBP menegaskan bahawa bahasa kebangsaan mestilah digunakan sepenuhnya dalam semua urusan rasmi kerajaan, termasuk surat-menyurat, dokumen, komunikasi, penamaan program dan majlis rasmi dalam perkhidmatan awam,” katanya.
Tambah DBP, penggunaan bahasa asing atau bahasa rojak dalam konteks rasmi tidak selari dengan penegasan kerajaan melalui Surat Edaran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) bertarikh 29 Oktober 2025.
Surat edaran itu menjelaskan semua urusan rasmi kerajaan termasuk program, aktiviti dan projek hendaklah menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya.
Menurut DBP, teguran itu juga selaras dengan peringatan berulang kali oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu semua agensi kerajaan mematuhi sepenuhnya peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan pekeliling perkhidmatan sedia ada.
“Kegagalan mematuhi arahan penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi kerajaan termasuk surat-menyurat merupakan tindakan yang mencabul Perlembagaan dan boleh dianggap sebagai usaha menjatuhkan martabat Bahasa Melayu,” katanya.
DBP menambah bahawa Bahasa Melayu bukan sekadar wahana pentadbiran, tetapi simbol kedaulatan dan identiti kebangsaan yang mesti dipertahankan serta dimartabatkan di semua peringkat perkhidmatan awam.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.