
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, telah membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung tuduhan fitnah yang mengaitkan beliau dengan Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha di Sabah.
Dalam hantaran di Facebook semalam, Fadhlina berkata terdapat individu yang cuba mengaitkan beliau dengan pengetua sekolah berkenaan.
“Kebelakangan ini, terlalu banyak fitnah direka secara jahat dan liar, sehingga menyebarkan kebencian. Menafikan sahaja ternyata tidak lagi mencukupi. Malah, lebih mengejutkan, nama arwah ibu saya turut diseret sedangkan beliau sudah tiada untuk mempertahankan dirinya. Fitnah sebegini telah memberi kesan kepada masyarakat,” katanya.
Sebelum ini dilaporkan, pengetua berkenaan bersama Penolong Kanan Hal Ehwal Murid serta semua warden telah ditempatkan sementara di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah sehingga siasatan polis ke atas kes Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir selesai.
Fadhlina turut berkongsi komen warganet yang mendakwa beliau mempunyai hubungan persaudaraan dengan pengetua terbabit. Beliau menegaskan tindakan undang-undang akan diambil.
“Saya berharap perkara ini menjadi pengajaran supaya orang ramai tidak membuat spekulasi. Hormatilah keluarga arwah Zara dan berilah ruang kepada proses undang-undang. Jika keadilan yang kita cari, ia mesti ditegakkan berasaskan kebenaran. Sesungguhnya keadilan itu dekat dengan takwa,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.