
Portal berita Free Malaysia Today (FMT) membuat permohonan maaf berhubung tindakan seorang wartawan syarikat itu kerana mengajukan soalan yang dikatakan mempunyai unsur perkauman dalam satu wacana terbuka pada Isnin.
Wacana bertajuk “Gaza Exposes the Complicity of International Actors” itu menampilkan ahli politik UK, George Galloway.
Pengerusi Eksekutif FMT, Nelson Fernandez menegaskan pihaknya tidak mengetahui niat soalan itu diajukan dan tidak bersetuju dengan komen wartawan tersebut.
Beliau berkata tindakan segera diambil dengan memulakan siasatan dalaman apabila perkara itu menjadi bahan perbincangan di media sosial.
“Ia membawa kepada tindakan tatatertib terhadap wartawan berkenaan.
“Proses tersebut sedang berjalan dan FMT tidak akan memberikan ulasan lanjut mengenai perkara ini buat masa sekarang,” katanya.
Menurutnya, ketika siasatan dijalankan, FMT mendapati bahawa, berbeza dengan kenyataan yang dibuat oleh pelbagai pihak di media sosial, wartawan berkenaan tidak menggunakan perkataan “apartheid” di forum tersebut.
Sebelum ini, pendakwah bebas Firdaus Wong mempersoalkan tindakan wartawan FMT yang didakwa mengaitkan polisi apartheid Israel terhadap Palestin dengan layanan orang Melayu terhadap masyarakat Cina di Malaysia, sambil menyifatkan perbandingan itu sebagai tidak berasas dan tidak intelektual.
Firdaus juga mempersoalkan soalan wartawan itu mengenai jumlah orang Cina di Malaysia yang didakwa telah dihalau keluar dari rumah mereka sendiri oleh orang Melayu dan tanah mereka dirampas secara tidak sah.
Beliau turut menyindir perbandingan tersebut dengan mengemukakan persoalan termasuk berapa ramai rakyat Gaza boleh menanam durian di tanah Israel selama berpuluh tahun tanpa perlu membayar cukai, tidak dikenakan tindakan, malah berani melawan pihak berkuasa Israel yang cuba mengambil tanah milik kerajaan Israel.
Nelson berkata, bagaimanapun, FMT mengakui sensitiviti yang terkandung dalam komen dan soalan yang diajukan wartawan tersebut.
Jelasnya, sebagai organisasi berita yang bertanggungjawab, FMT sama sekali tidak melaporkan perkara sedemikian atau menyokong pertanyaan seumpamanya.
“FMT kesal atas kesulitan yang dicetuskan oleh wartawan kami terhadap penceramah forum, penganjur, para hadirin dan rakyat Malaysia secara amnya.
“Kami secara tulus ikhlas memohon maaf kepada mereka atas sebarang kesulitan yang timbul,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.