
Ketua Menteri merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Hajiji Noor, menjangkakan pertembungan tidak dapat dielakkan dengan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) pada Pilihan Raya Negeri ke-17selepas kedua-dua parti itu meninggalkan gabungan.
“Kalau sudah keluar, memang berlanggarlah itu,” katanya ringkas kepada pemberita selepas menghadiri pertemuan bersama Ahli-Ahli Yang Berhormat kerajaan di Dewan Bankuasi, Menara Kinabalu, pada Isnin.
Menurut beliau, GRS yakin akan berdepan calon daripada kedua-dua parti berkenaan.
“Mereka keluar dan guna logo sendiri, tentu mereka akan letak calon di mana mereka suka dan saya amat yakin kita juga akan berlawan dengan calon-calon STAR dan SAPP,” katanya.
Ditanya sama ada keluarnya STAR — yang sebelum ini dilihat mempunyai pengaruh dalam kalangan pengundi Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) — memberi kesan kepada GRS, Hajiji menegaskan Parti Bersatu Sabah (PBS) kekal bersama gabungan dan diyakini mampu mengimbangi pengaruh tersebut.
“Kita amat yakin PBS bersama kita. Kekuatan dan pengaruh PBS cukup kuat untuk membantu,” katanya.
Mengenai kemungkinan STAR dan SAPP kembali bekerjasama dengan GRS selepas PRN, Hajiji menegaskan: “Itu tidak timbul.”
Turut kelihatan pada sidang media ialah empat ADUN STAR, mereka adalah Ellron Angin (Sook), Abidin Madingkir (Paginatan), Annuar Ayub (Liawan) dan Flovia Ng (Tulid).
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.