
Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar tidak menjadikan kematian mangsa buli sebagai senjata politik.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, tindakan menggunakan tragedi sebegini untuk tujuan penipuan dan hasutan adalah tidak boleh diterima.
“Baru-baru ini ada individu mengaku dirinya doktor patologi di media sosial dan memberikan gambaran palsu mengenai bedah siasat Zara Qairina Mahathir. Perkara ini meracuni pemikiran jutaan orang, termasuk rakan dan keluarga yang turut bertanya kepada saya. Mangsa sudah terkorban, tetapi kematiannya dijadikan senjata politik. Ini sama sekali tidak boleh diterima,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Anwar mengakui kemungkinan berlaku kelemahan dan kelewatan dalam pengendalian kes kematian Zara Qairina pada 17 Julai lalu, namun menegaskan pihak berkuasa sedang memastikan siasatan berjalan telus.
Beliau turut menegaskan bahawa budaya buli mesti dihentikan sepenuhnya kerana ia adalah penderaan psikologi dan fizikal yang memberi kesan buruk kepada masyarakat.
“Beberapa kematian baru-baru ini, termasuk Zara di Sabah dan Faris di Kelantan, menunjukkan betapa seriusnya isu buli. Ia perlu dihentikan sama ada melibatkan penghinaan peribadi, warna kulit atau diskriminasi lain,” katanya.
Sementara itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil mengesahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama polis sedang mengesan seorang pengguna TikTok yang mendakwa dirinya sebagai doktor patologi. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan individu berkenaan bukan doktor mahupun petugas perubatan.
Zara ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama SMKA Tun Datu Mustapha, Papar, pada 16 Julai dan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada keesokan harinya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.