
Influencer Choo Hao Ren, memohon maaf selepas tular video menunjukkan beliau mengeluarkan telefon bimbit untuk merakam ketika lagu kebangsaan dimainkan di sebuah acara, tindakan yang dianggap tidak wajar.
Rakaman tersebut diambil pada 8 Ogos ketika Choo menghadiri Anugerah Hiburan Terhebat CUCKOO 8TV, di mana beliau menundukkan kepala untuk merakam sewaktu lagu Negaraku berkumandang, sekali gus mencetuskan kritikan.
Dalam kenyataan di media sosial, Choo menzahirkan rasa kesal dan mengakui bahawa lagu kebangsaan adalah simbol negara yang perlu dihormati. Beliau berjanji akan berkelakuan lebih sopan dalam semua acara rasmi dan awam pada masa hadapan.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap Choo, menegaskan bahawa menghormati lagu kebangsaan adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau parti politik.
“Ini bukan soal bangsa apa mahupun parti politik mana,ini soal bagaimana seorang rakyat Malaysia adalah menjadi tanggungjawab utama untuk menghormati negara ini,” katanya sambil menegaskan isu ini berkaitan maruah negara, bukannya sensasi.
Pada tahun 2021, Choo pernah mencetuskan kontroversi melalui video promosi produk pemutih kulit yang memaparkan influencer wanita berpenampilan “brownface”, sebelum memohon maaf dan memadamkan video tersebut selepas menerima kecaman.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.