
Kerajaan negeri Melaka mengarahkan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) menyiasat dakwaan kewujudan sebuah hotel butik di negeri itu yang beroperasi dengan konsep “mesra gay”, yang tular di media sosial sejak Isnin.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rahmad Mariman berkata siasatan terperinci sedang dijalankan bagi mengesahkan maklumat tersebut.
“Jaim sedang menyiasat dakwaan itu dan kita tidak boleh membuat sebarang keputusan awal sehingga maklumat jelas dan bukti diperoleh,” katanya pada Selasa.
Isnin lalu, satu hantaran tular di media sosial mendakwa kewujudan hotel mesra gay di Melaka, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen.
Perkara itu dikongsi oleh pendakwah bebas Firdaus Wong yang mempersoalkan trend perniagaan menggunakan label “mesra” sebagai strategi pemasaran.
“Penjenamaan ini agak kreatif. Label ‘mesra Muslim’ pun boleh dijadikan perniagaan, apatah lagi ‘mesra gay’. Apa pula idea seterusnya? ‘Mesra babi’ atau ‘mesra LGBT’?” tulisnya.
“Selain pusat beli-belah mesra haiwan peliharaan, Malaysia juga ada konsep mesra keluarga, mesra kanak-kanak dan kini hotel mesra gay di Melaka,” katanya lagi.
Isu tersebut kini mendapat perhatian umum dan mencetuskan tindakan pihak berkuasa agama untuk menjalankan siasatan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.