
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, menyifatkan pengumuman Kabinet baharu sebagai petanda bahawa janji reformasi yang dilaungkan sebelum ini telah “dikuburkan secara rasmi”.
Beliau berkata keputusan Perdana Menteri untuk terus memegang portfolio Menteri Kewangan membuktikan kegagalan merealisasikan satu komitmen penting kepada rakyat.
“Kabinet baharu akhirnya diumumkan. Perdana Menteri masih Menteri Kewangan. Janji penting reformasi akhirnya dikuburkan secara rasmi. Takziah,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Ahli Parlimen Pasir Mas itu mengulas pengumuman Kabinet baharu semalam yang menyaksikan tiada perubahan terhadap pemegangan portfolio kewangan negara.
Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, sebelum ini berpandangan bahawa seorang perdana menteri tidak seharusnya memegang jawatan Menteri Kewangan.
Beliau berkata perkara itu merupakan antara agenda utama reformasi sekiranya Pakatan Harapan berjaya menawan Putrajaya.
Perkara sama turut dinyatakan dalam Janji 12 manifesto Pakatan Harapan yang menyebut bahawa perdana menteri tidak akan memegang jawatan menteri lain, khususnya Menteri Kewangan.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam mengumumkan rombakan Kabinet melibatkan 28 menteri dan timbalan menteri merangkumi pertukaran portfolio serta lantikan baharu.
Menurut beliau, rombakan itu dibuat bagi memastikan Jemaah Menteri berfungsi lebih berkesan, mengisi kekosongan sedia ada serta menumpukan usaha menjana pertumbuhan ekonomi dan menyelesaikan masalah rakyat.
Secara keseluruhan, rombakan tersebut melibatkan tiga pertukaran portfolio menteri, 10 pertukaran portfolio timbalan menteri, tujuh lantikan baharu menteri dan lapan lantikan baharu timbalan menteri.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.