
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, membidas dakwaan seorang pemimpin politik bergelar ‘ulama’ berhubung isu kenaikan harga bahan api, dengan menyifatkan pandangan itu sebagai dangkal serta berpotensi mengelirukan rakyat.
Beliau berkata, kenyataan bahawa kenaikan harga minyak hanya berlaku di Malaysia dan tidak melibatkan negara lain adalah tidak tepat, malah tidak membantu dalam memahami situasi sebenar.
Kenyataan disifatkan mengelirukan
Tanpa menamakan individu berkenaan, beliau menegaskan bahawa pandangan sedemikian mencerminkan kekurangan pemahaman terhadap isu ekonomi semasa.
“Ada ulama yang terkenal, mempunyai ramai pengikut, mengatakan tidak betul minyak naik, hanya di Malaysia sahaja naik.
“Itu fahaman kedangkalan ilmu yang ketara tetapi diselubungi oleh fahaman agama dan Al-Quran menyebabkan orang agak percaya, namun ia tidak membantu malah mengelirukan,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri bersama warga Kementerian Pengangkutan.
Respons terhadap kritikan kenaikan diesel
Kenyataan itu dilihat sebagai reaksi terhadap kritikan Presiden Parti Islam Se-Malaysia, Abdul Hadi Awang, yang sebelum ini mempersoalkan kenaikan harga diesel di Semenanjung.
Ahli Parlimen Marang itu mendakwa langkah berkenaan tidak mempunyai asas kukuh, selain mempersoalkan kaitan antara kenaikan harga bahan api dengan ketegangan geopolitik di Asia Barat, termasuk isu sekatan Iran di Selat Hormuz.
Pertikaian asas kenaikan harga
Beliau turut berhujah bahawa Malaysia tidak sepatutnya terkesan secara langsung, memandangkan negara memiliki sumber minyak dan gas sendiri serta jaringan kerjasama dengan negara pengeluar lain.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.