
Kerajaan Negeri Melaka memberi maklum balas terhadap kenyataan DAP Melaka berhubung penganjuran RXZ Members Ride Edition Melaka 3.0, sambil menegaskan bahawa adalah tidak adil untuk menilai keseluruhan acara berskala besar itu berdasarkan tindakan segelintir individu.
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya Negeri Melaka, Abdul Razak Abdul Rahman berkata program tersebut telah memberi limpahan ekonomi yang besar kepada rakyat Melaka, khususnya peniaga kecil, pengusaha hotel dan homestay di kawasan bandar serta luar bandar.
Beliau berkata kerajaan negeri tidak pernah meluluskan sebarang aktiviti haram, perlakuan berbahaya atau gangguan ketenteraman awam, dan mengaitkan perkara tersebut secara langsung dengan penganjuran rasmi acara adalah tidak tepat serta mengelirukan rakyat.
Menurutnya, sejak awal penganjuran, kerjasama rapat telah dijalinkan bersama Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan bagi memastikan pemantauan serta penguatkuasaan dilaksanakan. Sebarang pelanggaran undang-undang berada di bawah bidang kuasa pihak berkuasa penguatkuasaan, dengan sokongan penuh kerajaan negeri.
Abdul Razak turut mengkritik DAP Melaka kerana gagal mengemukakan cadangan konstruktif, sebaliknya mengeluarkan kenyataan yang boleh mencetuskan persepsi negatif terhadap usaha kerajaan negeri memajukan sektor pelancongan.
Beliau berkata Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh, berulang kali menegaskan sepanjang dua hari penganjuran bahawa walaupun kelonggaran tertentu diberikan, keselamatan dan pematuhan undang-undang di jalan raya tidak boleh dikompromi. Namun, kenyataan itu tidak didengari oleh pihak DAP yang tidak hadir ke program tersebut.
Beliau menegaskan kerajaan negeri akan terus menyokong penganjuran acara komuniti yang memberi manfaat ekonomi dan sosial kepada rakyat, namun tidak akan sesekali berkompromi terhadap keselamatan awam dan pematuhan undang-undang.