
Oleh Liew Chin Tong
Setelah separuh penggal mentadbir negara, Kerajaan Perpaduan kini perlu mempunyai keyakinan diri bahawa sesebuah kerajaan adalah satu kuasa yang dapat membawa kebaikan. Untuk merealisasikannya, sesebuah kerajaan perlu gigih berusaha dengan lebih tegas dan berani.
Apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022, ada kalangan rakyat yang berfikir: berapa lamakah kerajaan ini mampu bertahan – adakah lebih dari 3 bulan, 12 bulan atau 22 bulan (tempoh pentadbiran Pakatan Harapan sebelum pengkhianatan Langkah Sheraton)?
Setakat ini, Kerajaan Madani pimpinan Anwar telah membuktikan ia lebih teguh daripada apa yang dijangkakan, terutama kemampuannya mengimbang pelbagai perbezaan kepentingan politik dalam gabungan pemerintah serta dalam masyarakat Malaysia sendiri.
Kerajaan Madani wujud atas titah diraja bagi menubuhkan sebuah kerajaan perpaduan dalam suasana haru-biru pasca-pilihan raya umum ke-15. Gabungan parti pemerintah ini telah pun membuktikan kecemerlangannya mentadbir di samping kemampuannya memenangi pilihan raya seperti yang ditonjolkan dalam pilihan raya serentak 6 negeri dan beberapa pilihan raya kecil.
Namun, entah mengapa, pimpinan di pelbagai peringkat masih terpinga-pinga dan kelihatan kurang yakin apabila dicabar serta diserang oleh pihak lawan. Contohnya, sesetengah pemimpin UMNO tidak selesa apabila dilontarkan sindiran nama “UMDAP” yang berniat memperlekeh parti. Pada masa yang sama para pemimpin akar umbi DAP merasa tidak senang hati kerana menyangka agenda UMNO dalam kerajaan telah mengetepikan agenda DAP.
Penentang-penentang kerajaan Madani pula gigih berkempen dalam kalangan Melayu/Muslim bahawa kerajaan sekarang lebih mengutamakan bukan-Melayu/Muslim. Sebaliknya, golongan bukan-Melayu/Muslim diberitahu bahawa Perdana Menteri hanya mementingkan Melayu/Muslim, malah lebih mengutamakan warga Palestin berbanding bukan-Melayu/Muslim Malaysia.
Untuk mengatasi keadaan yang memecahbelahkan ini, Kerajaan Perpaduan perlu melihat dirinya sebagai pengubah keadaan yang amat diperlukan oleh negara pada masa ini, dan ia perlu bersungguh-sungguh melaksanakan agenda bersama ini.
Ini adalah kerana kita berada dalam era di mana golongan populis – para pemimpin politik yang memainkan sentimen kaum, agama, dan wilayah – dan golongan ini tiada apa-apa agenda yang berguna kecuali membangkitkan kemarahan pengundi. Semakin ramai ahli politik di seluruh dunia menganggap bahawa membakar sentimen adalah formula untuk menang pilihan raya.
Kita sedar bahawa ramai rakyat hilang keyakinan terhadap kerajaan, terutamanya sejak dekad yang lalu apabila negara dilanda skandal global 1MDB. Hari ini, pemimpin kerajaan daripada Pakatan Harapan merupakan bekas pembangkang yang dulunya kerap menghentam kerajaan. Masalahnya, masih ada pemimpin dalam kalangan kerajaan sekarang yang berlagak wira satu isu, sedangkan sebagai kerajaan, kita perlu bergerak secara kolektif dalam mengutamakan kepentingan semua rakyat.
Para pemimpin Kerajaan Madani perlu yakin bahawa fungsi sesebuah kerajaan ialah menjadi satu kuasa yang mampu membawa kebaikan kepada rakyat, dan sebuah kerajaan yang baik mencerminkan kemampuan untuk memenangi pilihan raya dan membina negara.
Untuk menjadi satu kuasa yang dapat membawa kebaikan, 3 “game changer” penting perlu menjadi fokus Kerajaan Madani, iaitu:
𝗧𝗮𝘁𝗮𝗻𝗮𝗻 𝗽𝗼𝗹𝗶𝘁𝗶𝗸 𝗯𝗮𝗵𝗮𝗿𝘂
Kerajaan Perpaduan perlu mempunyai iltizam untuk mewujudkan satu tatanan politik baharu yang mampu bertahan untuk bertahun-tahun lamanya, malah untuk beberapa dekad akan datang.
Senario pasca-2022 tidak banyak bezanya dengan keadaan pasca-1969. Selepas pilihan raya umum 1969 yang diikuti dengan peristiwa 13 Mei, tatanan politik lama pasca-Merdeka turut tersungkur. Kegawatan serantau dan global berlaku, termasuk Perang Vietnam, dan pengunduran tentera British dari rantau Suez Timur, khususnya Malaysia dan Singapura.
Dari segi politik, Perdana Menteri Tun Razak Hussein mengubah struktur Perikatan UMNO, MCA dan MIC kepada Barisan Nasional yang didominasi oleh UMNO. Dari segi dasar luar pula, Malaysia berganjak daripada sikap pro-Barat di bawah pimpinan Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj kepada pendirian yang lebih berkecuali sejak 1970-an.
Tun Razak telah mewujudkan tatanan politik baharu yang berasaskan dominasi UMNO bersama struktur ekonominya yang diteruskan sehingga awal dekad 1990-an apabila Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad melancarkan Wawasan 2020 dengan idea Bangsa Malaysia.
Sebenarnya asas tatanan politik Tun Razak hanya benar-benar berakhir setelah tumbangnya kerajaan Barisan Nasional pada pilihan raya umum 2018 yang menamatkan kuasa pemerintahannya selama 48 tahun.
Setelah tatanan lama berakhir, wujud kekosongan buat seketika. Kerajaan Madani yang ditubuhkan pada 2022 kini berpeluang untuk membina sebuah tatanan politik baharu yang mampu dikekalkan untuk beberapa penggal pilihan raya.
𝗡𝗮𝘀𝗶𝗼𝗻𝗮𝗹𝗶𝘀𝗺𝗲 𝗠𝗮𝗹𝗮𝘆𝘀𝗶𝗮
Formula politik terbaik untuk Kerajaan Perpaduan adalah memperolehi undi yang mencukupi daripada semua kaum dan semua wilayah, iaitu Semenanjung, Sarawak, dan Sabah. Ia juga merupakan kunci untuk membina Malaysia yang berdaya tahan dan makmur tatkala dunia sedang berubah daripada unipolar kepada multipolar.
Kerajaan Perpaduan memerlukan satu naratif yang tepat untuk nasionalisme bentuk baharu. Bersama-sama menuju ke arah perpaduan, merangkumi semua kaum dan wilayah, merupakan satu usaha yang perlu kita gerakkan. Jika Kerajaan Perpaduan gagal menghasilkan satu naratif nasional, negara akan terus dipisah-pisahkan oleh politik kaum dan wilayah, yang akhirnya membawa kepada “zero sum game” – yang kalah, kalah semuanya, yang menang, menang semuanya; tidak tolak ansur, tiada perkongsian.
Para penyokong Kerajaan Perpaduan memerlukan satu agenda positif untuk dijadikan pegangan perjuangan. Kita tidak boleh mengharapkan para penyokong kerajaan untuk sekadar “mempertahankan” kita jika kerangka “zero sum game” kaum dan wilayah masih diamalkan.
Agenda positif untuk kita semua adalah nasionalisme Malaysia yang dapat menghasilkan rasa kekitaan dan persaudaraan dalam konteks Malaysia milik kita bersama.
𝗠𝗲𝗻𝗮𝗶𝗸𝗸𝗮𝗻 𝗹𝗮𝗻𝘁𝗮𝗶
Bagi melahirkan rasa kekitaan dan persaudaraan, warga Malaysia perlu merasa kehidupan yang terjamin dari segi ekonomi. Matlamat Kerangka Ekonomi Madani ialah untuk menaikkan siling dan menaikkan lantai. Menaikkan siling berhasrat menjadikan Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia manakala menaikkan lantai bermaksud meningkatkan taraf hidup rakyat.
Datuk Seri Anwar telah berjaya dalam usahanya untuk mengangkat maruah negara di mata dunia, dan kini apabila Malaysia dijadikan tajuk berita, ia bukan lagi peristiwa-peristiwa yang memalukan seperti skandal 1MDB dahulu. Dunia tidak lagi melihat Malaysia sebagai sebuah negara yang dianggap korup. Satu lagi kejayaan beliau ialah meningkatkan pelaburan ke tahap yang tidak pernah dicapai sebelum ini.
Menaikkan lantai patut dijadikan fokus utama kerajaan bagi memastikan rakyat Malaysia mempunyai rasa cinta negara. Kerajaan Madani perlu dilihat oleh semua pihak sebagai sebuah kerajaan yang berjaya mewujudkan suasana di mana ramai warga Malaysia menikmati kehidupan lebih baik serta mampu memajukan diri dan keluarga.
Menaikkan lantai juga perlu menjadi asas kepada semua dasar-dasar kerajaan. Bagi menjayakan usaha ini, perlu ada strategi serampang dua mata, iaitu:
Pertama, perlu ada lebih banyak usaha dan keputusan bersama nasional untuk menaikkan gaji pekerja, memastikan syarikat-syarikat Malaysia lebih kukuh, dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing (yang menyebabkan gaji terbantut).
Kedua, kerajaan perlu berani dan kreatif serta tidak terlalu bergantung kepada pasaran sebagai satu-satunya solusi menyelesaikan isu-isu sara hidup. Tidak semua peruntukan perkhidmatan perlu disediakan melalui cara-cara pasaran.
Contohnya, tidak semua orang perlu memiliki rumah, dan masyarakat kelas pertengahan perlu disediakan perumahan melalui sewaan. Sewaan bukan hanya untuk golongan berpendapatan rendah, walaupun salah anggapan ini agak popular dalam kalangan masyarakat. Begitu juga dengan mutu pengangkutan awam yang mesti dipertingkatkan agar lebih ramai dalam kalangan kita tidak perlu memiliki kenderaan persendirian yang menjadi salah satu punca kesesakan lalu lintas.
Bagi membolehkan Kerajaan Perpaduan terus mara dan mempunyai agenda positif untuk diperjuangkan, kita memerlukan usaha-usaha perubahan ini: mewujudkan tatanan politik baharu, melahirkan nasionalisme Malaysia baharu, dan menaikkan lantai bagi membina masyarakat yang terjamin keperluan ekonominya.
Ini bermakna pemimpin daripada kalangan parti-parti pemerintah, dan yang lebih penting, kalangan rakyat Malaysia sendiri, perlu yakin dan percaya bahawa kerajaan, terutamanya Kerajaan Madani, adalah satu kuasa yang dapat membawa kebaikan kepada rakyat.
Liew Chin Tong merupakan Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri. Beliau juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, ADUN Perling dan juga Ketua Biro Politik Pendidikan DAP. Artikel ini pada asalnya diterbitkan di Facebook Liew Chin Tong.
*Kongsi pandangan atau idea anda bersama kami. Hantar ke editorial@asianewshub.com.