
Kad kredit dan debit asing tidak lagi dibenarkan digunakan di terminal layan diri pam minyak bagi pembelian petrol RON95, berkuat kuasa Rabu ini.
Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Azman Adam, berkata langkah tersebut mewajibkan pengguna kad asing membuat bayaran di kaunter bagi memudahkan pemantauan serta memastikan pematuhan terhadap peraturan sedia ada.
Langkah atasi ketirisan dan salah guna
Menurut beliau, sebelum ini terdapat banyak kes kenderaan bernombor pendaftaran asing mengisi petrol menggunakan kad debit atau kredit asing di terminal layan diri, sekali gus menyukarkan pengesanan oleh pihak stesen minyak dan pihak berkuasa.
Beliau menjelaskan bahawa kaedah pembayaran di kaunter membolehkan pemantauan lebih berkesan, sekali gus mengelakkan pembelian RON95 oleh pihak yang tidak layak.
Tambahnya, beberapa syarikat minyak telah bersedia melaksanakan peralihan tersebut, manakala selebihnya akan melaksanakannya secara berperingkat.
Penguatkuasaan penuh bermula serentak
Azman turut memaklumkan bahawa penguatkuasaan penuh larangan penjualan RON95 kepada kenderaan berdaftar asing akan bermula pada tarikh yang sama.
Beliau berkata, bagi stesen minyak yang mempunyai jumlah pam yang banyak, pemantauan secara langsung di terminal layan diri adalah sukar, justeru pembayaran di kaunter dilihat lebih berkesan untuk mengawal ketirisan.
Kawalan penjualan diesel di Sabah dan Sarawak
Dalam perkembangan berkaitan, pelesen stesen minyak di Sabah, Sarawak dan Labuan diarahkan untuk mengawal penjualan diesel kepada kenderaan pengangkutan darat, dengan had antara 50 hingga 150 liter bagi setiap transaksi.
Azman berkata, seramai 2,400 pegawai penguat kuasa KPDN di seluruh negara telah bersiap siaga bagi menjalankan pemeriksaan serta pemantauan di lapangan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.