
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah mengenal pasti seramai 14,858 pemastautin cukai Malaysia yang memiliki akaun kewangan luar pesisir yang tidak diisytiharkan dengan nilai keseluruhan mencecah RM10 bilion.
Individu terbabit dikesan gagal mengemukakan maklumat tersebut melalui Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP).
Dalam satu kenyataan hari ini, LHDN memaklumkan penemuan tersebut dibuat melalui pertukaran maklumat akaun kewangan peringkat antarabangsa dengan kerjasama lebih 100 buah negara.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada usaha global untuk memperkukuh pematuhan cukai dan membanteras pengelakan cukai merentas sempadan.
Akaun-akaun tersebut dikesan berada di pelbagai bidang kuasa termasuk Luxembourg, Hong Kong, Guernsey, Kepulauan Cayman, Bahamas dan Bermuda.
“LHDN telah mengeluarkan notis peringatan kepada pemastautin cukai berkaitan sebagai langkah galakan pematuhan secara sukarela, sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk menyemak dan melaporkan pendapatan sebelum tindakan penguatkuasaan diambil,” menurut kenyataan itu.
Pemastautin cukai Malaysia yang mempunyai pendapatan luar negara yang tertakluk kepada percukaian digesa tampil secara sukarela untuk membuat pengisytiharan bagi mengelakkan penalti dan tindakan undang-undang di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.
Sebarang pertanyaan boleh diajukan ke pusat hubungan HASiL di talian 03-8911 1000.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.