
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, mengingatkan kepimpinan DAP Pulau Pinang agar tidak leka dan perlu mula membuat persiapan awal sekiranya Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) diadakan serentak dengan pilihan raya negeri.
Beliau berkata tahun depan mungkin menjadi tahun kritikal kerana beberapa Dewan Undangan Negeri seperti Johor, Melaka dan Sarawak akan tamat tempoh penggal.
“Jika Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) memutuskan untuk mengadakan PRU16 serentak dengan pilihan raya negeri, Parlimen mungkin perlu dibubarkan lebih awal.
“Saya tidak kata ia pasti berlaku, tetapi tanggungjawab saya adalah mengingatkan kepimpinan DAP Pulau Pinang supaya bersedia dengan segala kemungkinan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Tahunan DAP Pulau Pinang yang dihadiri 696 perwakilan.
Loke menjelaskan bahawa berbeza dengan PRU lalu di mana negeri pimpinan PH mengadakan pilihan raya berasingan, situasi kini memerlukan strategi lebih tersusun kerana kerajaan Persekutuan dan negeri berada di bawah pentadbiran sama.
Beliau menegaskan perpaduan dan disiplin parti kekal menjadi asas untuk mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap DAP di Pulau Pinang.
“Kita berada dalam kedudukan selesa dengan rekod pentadbiran baik, tetapi jangan alpa. Pengundi paling tidak suka melihat parti tidak bersatu. Kekuatan DAP Pulau Pinang terletak pada kesatuan,” katanya.
Beliau turut menggesa ahli menghormati keputusan pemilihan parti tahun lalu dan memberi sokongan kepada Pengerusi DAP Pulau Pinang, Steven Sim, yang menggantikan Chow Kon Yeow selepas beliau tidak bertanding.
Pakatan Harapan–Barisan Nasional memenangi 29 daripada 40 kerusi yang dipertandingkan dalam pilihan raya negeri Pulau Pinang 2023.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.