
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang daripada PAS, Mohd Shukri Ramli, meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Perlis selepas tiga tahun memegang jawatan itu, dengan alasan faktor kesihatan.
Shukri berkata beliau menghadap Raja Perlis hari ini dan menyatakan hasrat untuk berundur daripada jawatan tersebut.
“Saya telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Tuanku Raja Perlis pada tengah hari tadi. Saya serahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan baginda untuk mempertimbangkan hasrat saya,” katanya pada sidang media.
Peletakan jawatan itu dibuat selepas lapan ADUN Perikatan Nasional menarik balik sokongan terhadap beliau, termasuk tiga ADUN PAS yang keahlian parti mereka ditamatkan semalam.
Penarikan sokongan itu menyebabkan Shukri hanya disokong enam ADUN PAS dalam Dewan Undangan Negeri Perlis yang mempunyai 15 kerusi, sekali gus menghilangkan majoriti beliau.
Bagaimanapun, kerusi tiga bekas ADUN PAS berkenaan dikosongkan lebih awal hari ini susulan penamatan keahlian mereka, sekali gus menjadikan keadaan politik semasa dalam keadaan tidak menentu.
Shukri dimasukkan ke sebuah hospital di Kuala Lumpur pada Isnin, hari sama ketika dilaporkan lapan ADUN menarik balik sokongan terhadap beliau sebagai Menteri Besar.
Beliau dimasukkan ke hospital selepas mengalami sakit dada sebaik pulang daripada lawatan ke luar negara, sebelum dibenarkan keluar hospital pada keesokan harinya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.