
Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor mencetuskan spekulasi berhubung kemungkinan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas menghadiri mesyuarat tertutup bersama presiden parti komponen di kediaman rasmi beliau, Sri Gaya, malam Rabu (25 Sept).
Hajiji dilihat keluar pada jam 11.27 malam dengan menaiki kenderaan rasmi selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan. Beliau sempat melambaikan tangan sambil berkata “Good night, bye” kepada media yang menunggu.
Mesyuarat yang bermula sekitar jam 7 malam itu turut dihadiri Presiden STAR Jeffrey Kitingan, Timbalan Presiden PBS Joachim Gunsalam, Presiden USNO Pandikar Amin, Presiden PCS Anifah Aman, Presiden SAPP Yong Teck Lee, Presiden Harapan Rakyat Liew Yun Fah dan Presiden LDP Chin Su Phin.
Kesemua pemimpin dilihat meninggalkan Sri Gaya secara berperingkat bermula jam 9.45 malam. Difahamkan mesyuarat membincangkan kemungkinan tarikh pembubaran DUN Sabah.
Terdapat juga desas-desus bahawa STAR mungkin meninggalkan GRS sekiranya gabungan itu meneruskan rancangan untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada PRN Sabah. Jeffrey sebelum ini menegaskan STAR tidak akan kekal dalam GRS sekiranya kerjasama itu menjadi kenyataan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.