
Seorang murid Tahun Empat berusia 10 tahun ditemui tidak sedarkan diri di sebuah sekolah kebangsaan di Senawang pada Rabu (24 Sept) sebelum disahkan meninggal dunia di hospital.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata pihaknya menerima laporan pada jam 1.19 tengah hari dan sepasukan polis dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Maklumat awal mendapati kanak-kanak tersebut meninggalkan kelas sekitar jam 12.10 tengah hari sebelum ditemui tidak sedarkan diri. Mangsa kemudian dibawa ke hospital namun disahkan meninggal dunia,” katanya.
Beliau berkata, polis tidak akan mengulas lanjut sehingga siasatan selesai dan kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang menziarahi keluarga mangsa turut merakamkan ucapan takziah serta melahirkan rasa sedih atas tragedi itu.
“Kementerian Pendidikan Malaysia akan memberi kerjasama penuh kepada siasatan polis dan menyediakan sokongan emosi serta sosial kepada keluarga. Kita mohon semua pihak elak membuat spekulasi demi menjaga emosi keluarga,” katanya.
Beliau menambah, KPM akan memulakan intervensi psikososial kepada murid dan guru di sekolah berkenaan bermula esok secara berterusan, dikendalikan kaunselor sekolah.
“Aktiviti persekolahan berjalan seperti biasa tetapi intervensi akan diteruskan untuk membantu komuniti sekolah menghadapi kehilangan ini,” katanya.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.