
Nilai ringgit terus mengukuh kepada RM4.16 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), sekali gus muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata penilaian itu dibuat oleh badan penarafan antarabangsa dan bukan oleh kerajaan.
“S&P Global Ratings dan Moody’s Rating mengekalkan penarafan kredit Malaysia masing-masing pada tahap A- dan A3 dengan prospek stabil serta kukuh.
“Pada Ogos 2025, kadar pengangguran negara berada pada paras terendah dalam tempoh 10 tahun. Kerajaan turut menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 walaupun mendapat tentangan daripada sebahagian syarikat,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, Isnin.
Beliau menjawab soalan Aminolhuda Hassan (PH–Sri Gading) berhubung ukuran keberkesanan pelaksanaan Dasar Ekonomi Madani selepas 18 hingga 24 bulan.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyelar pembangkang yang sebelum ini sering mengkritik kejatuhan ringgit, tetapi kini membisu ketika mata wang negara mengukuh.
“Dulu bila ringgit jatuh, mereka bising. Sekarang bila ringgit kukuh, tak sebut sepatah pun. Inilah masalahnya,” katanya.