
PAS akan mengadakan mesyuarat di ibu negara esok bagi membincangkan kemelut kepimpinan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli, yang didakwa kehilangan sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS III Perlis.
Shahidan menegaskan tidak wujud sebarang gerakan terancang dalam PN berhubung kemelut tersebut dan beliau tidak melihat adanya pakatan tertentu yang dibentuk.
Menurutnya, kemungkinan ADUN terlibat dipanggil secara individu untuk membuat akuan berkanun, dan perkara utama kini ialah keputusan parti selepas ini.
Beliau berkata, isu itu akan diserahkan kepada PAS Pusat sebelum nama daripada kedua-dua parti diangkat kepada Raja Perlis untuk penentuan seterusnya.
Kemelut ini susulan dakwaan beberapa ADUN PAS dan BERSATU menyerahkan akuan berkanun kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, pada Jumaat lalu, menyatakan mereka tidak lagi menyokong kepimpinan Mohd Shukri.
Shahidan berkata beliau mengikuti rapat perkembangan itu ketika berada di Bangkok, Thailand bagi menghadiri temasya Sukan SEA dan mengetahui perkara berkenaan melalui media sosial.
Beliau mengakui terdapat sesuatu yang berlaku di Perlis, namun menegaskan ia perlu diperhalusi oleh PAS Pusat, BERSATU Pusat dan PN Pusat.
Shahidan berharap kemelut itu dapat diselesaikan menerusi perbincangan secara “adik-beradik” dalam tempoh terdekat dan mengelakkan sebarang pertelingkahan dalam gabungan tersebut.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.