
Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari mendakwa Perdana Menteri menyalahgunakan kuasa secara serius apabila mengarahkan SKMM menyiasat kenyataan penafian Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau berkata kenyataan Muhyiddin hanyalah bersifat politik dan tidak mengandungi sebarang elemen ancaman atau komunikasi tidak wajar yang boleh dikenakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Tindakan ini adalah bentuk campur tangan politik terhadap badan penguatkuasa yang sepatutnya bebas,” katanya.
Beliau menegaskan SKMM tidak seharusnya menerima arahan terbuka daripada Perdana Menteri kerana mengikut Seksyen 4(2) Akta SKMM 1998, badan itu harus beroperasi secara bebas.
Ahmad Fadhli turut membangkitkan kemungkinan Perdana Menteri melanggar Seksyen 23 Akta SPRM 2009 kerana menggunakan jawatan untuk kepentingan peribadi serta mencabuli hak kebebasan bersuara Tan Sri Muhyiddin yang dijamin oleh Perlembagaan.
Sehubungan itu, beliau menyeru SKMM mempertahankan kebebasan institusi, dan mencadangkan SPRM serta Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menyiasat isu ini.
“Jika ini bukan salah guna kuasa, apa lagi? Malaysia negara hukum. Tiada sesiapa, termasuk Perdana Menteri, boleh sewenang-wenangnya gunakan agensi kerajaan untuk diamkan musuh politiknya.”
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.