
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming, yang didakwa mengugut seorang wartawan ketika diajukan soalan berhubung penggunaan Bahasa Melayu disifatkan sebagai tidak profesional dan mencemarkan martabat seorang anggota Jemaah Menteri.
Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Khairul Nadzir Helmi Azhar, berkata tindakan itu menunjukkan contoh buruk kepada masyarakat serta mencalar kewibawaan institusi kerajaan.
“Perbuatan sedemikian amat tidak wajar dilakukan oleh seorang menteri. Ia bukan sahaja menunjukkan sikap kebudak-budakan, malah mencemarkan etika serta imej pentadbiran kerajaan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Khairul Nadzir turut menegaskan bahawa Bahasa Melayu ialah Bahasa Kebangsaan yang dijamin oleh Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, dan tanggungjawab memartabatkannya bukan sekadar pilihan atau kempen sementara.
“Bahasa Melayu tidak boleh diketepikan atas alasan komersial atau pelancongan. Pelancong datang untuk melihat jati diri dan budaya kita, bukan untuk menyaksikan kita mengorbankan identiti sendiri demi melayan selera luar,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut menuntut penjelasan segera dan permohonan maaf terbuka daripada Nga Kor Ming kepada wartawan terlibat serta kepada rakyat Malaysia.
Menurutnya, kerajaan perlu menunjukkan teladan dengan mengutamakan Bahasa Melayu dalam semua urusan rasmi termasuk kenyataan media, dokumen, papan tanda dan acara kerajaan.
Terdahulu, dalam program praelancaran projek ‘I Lite U’ sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, seorang wartawan bertanya mengenai tema projek itu yang menggunakan bahasa Inggeris.
Kor Ming menjelaskan bahawa penggunaan bahasa Inggeris dianggap lebih sesuai bagi menarik pelancong antarabangsa memandangkan ia adalah program pelancongan.
Namun, selepas sesi itu, beliau dikatakan memberitahu wartawan Utusan Malaysia berkenaan bahawa akan menghubungi ketua pengarang akhbar tersebut; suatu kenyataan yang mencetuskan kritikan.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.