
Ribut salji kuat di Lembah Karma menuju muka Kangshung (timur) Gunung Everest, Tibet, memerangkap ratusan pendaki ketika salji dan hujan luar biasa melanda Himalaya, lapor media rasmi China pada Ahad.
Menurut CCTV, seramai 350 pendaki telah dibimbing ke pekan kecil Qudang setakat Ahad, manakala hubungan telah dibuat dengan lebih 200 yang lain. Baki pendaki akan tiba berperingkat dengan bimbingan pasukan penyelamat yang diselaras kerajaan tempatan.
Lembah pada ketinggian purata 4,200 meter itu mula menerima salji pada malam Jumaat dan berlarutan sepanjang Sabtu.
Musim cuti lapan hari Sempena Hari Kebangsaan China menarik ratusan pengunjung ke kawasan berkenaan. Laporan terdahulu Jimu News menyebut ratusan penduduk kampung dan pasukan penyelamat dikerah membersihkan salji, dengan hampir 1,000 orang pada awalnya terperangkap.
Chen Geshuang, anggota pasukan 18 orang, memberitahu Reuters keadaan “sangat basah dan sejuk” sehingga hipotermia menjadi risiko nyata.
Beliau berkata cuaca tahun ini “tidak normal” dan perubahan berlaku “terlalu pantas”, sambil menambah penduduk kampung menyambut kumpulan mereka pada Ahad dengan minuman panas dan tempat berlindung.
CCTV tidak menyatakan sama ada semua pemandu arah tempatan dan petugas sokongan telah dikenal pasti. Turut tidak jelas sama ada pendaki di kawasan muka utara Everest terjejas; Oktober lazimnya musim puncak apabila langit kembali cerah selepas monsun India.
Ikuti perkembangan terkini di Telegram Buletin Rakyat.